Wanita mengamuk pecahkan cermin, lampu belakang kereta guna pisau

KULIM - Seorang wanita ditahan selepas dipercayai mengamuk dan memecahkan cermin belakang serta lampu belakang sebuah kereta menggunakan pisau di Taman Kemuning di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, suspek dipercayai menghampiri kereta Perodua Myvi milik seorang lelaki berusia 29 tahun yang diletakkan di bahu jalan berhampiran deretan kedai.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, ketika kejadian, pemilik kenderaan berkenaan berada di sebuah kedai burger berhampiran.
Menurutnya, suspek kemudian dipercayai memecahkan cermin besar bahagian belakang dan lampu belakang kenderaan menggunakan pisau pemotong sayur yang dipegang pada kedua-dua belah tangan.
“Tempat kejadian merupakan kawasan terbuka di bahu lorong jalan deretan bangunan kedai di Taman Kemuning.
“Pengadu meletakkan kenderaannya di bahu jalan sementara membeli burger sebelum suspek datang dan merosakkan cermin belakang serta lampu belakang kereta,” katanya pada Selasa.
Syamsul berkata, terdapat saksi awam yang melihat kejadian berkenaan, selain rakaman video menggunakan telefon bimbit orang awam turut tersebar di media sosial.
Menurutnya, anggota kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim yang menerima maklumat kemudian tiba di lokasi dan menahan suspek untuk tindakan lanjut.
“Suspek mempunyai sejarah mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Kulim sejak 2012 dan kali terakhir mendapatkan rawatan pada Jun lalu.
“Suspek kemudian dibawa ke Hospital Kulim dengan bantuan polis untuk mendapatkan rawatan,” ujarnya.
Syamsul berkata, suspek tidak direman selepas ahli keluarganya hadir dan polis memberikan jaminan sebelum wanita berkenaan dibawa mendapatkan rawatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

