PKPS, SFV raih dua anugerah industri pelancongan

A
A
A

EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan Negeri Melaka, YB Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman menyampaikan Anugerah Agensi Industri Agro Terbaik kepada Ketua Bahagian Pengurusan Pemegang Taruh PKPS, Noor
EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan Negeri Melaka, YB Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman menyampaikan Anugerah Agensi Industri Agro Terbaik kepada Ketua Bahagian Pengurusan Pemegang Taruh PKPS, Noor

SHAH ALAM - Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mencatatkan kejayaan berganda apabila merangkul dua anugerah berprestij pada Anugerah Industri Pelancongan 2026 (TIA 2026), sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam sektor pertanian dan agropelancongan negara.

Pada majlis berkenaan, PKPS dinobatkan sebagai Agensi Industri Agro Terbaik (Best Agro Industry Agency), manakala hab agropelancongannya, Selangor Fruit Valley (SFV), menerima pengiktirafan sebagai Destinasi Agropelancongan Terunggul (Best Leading Agrotourism Destination).

TIA 2026 yang dianjurkan oleh Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MiTDA) dan Santai Travel dengan kerjasama Tourism Selangor merupakan platform yang mengiktiraf kecemerlangan, inovasi serta komitmen pemain industri pelancongan dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Majlis yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya pada Sabtu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man. Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, kedua-dua pengiktirafan itu merupakan satu penghormatan kepada PKPS dan SFV, selain mencerminkan hasil usaha bersama seluruh warga kerja organisasi, Kerajaan Negeri Selangor serta rakan strategik.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja satu penghormatan kepada PKPS dan SFV, tetapi juga kepada seluruh warga kerja yang telah memberikan komitmen dalam menjayakan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.

“Pada masa sama, kejayaan ini turut mencerminkan sokongan Kerajaan Negeri Selangor dan rakan strategik dalam usaha memperkukuh sektor pertanian dan agropelancongan di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

PKPS menerima anugerah Agensi Industri Agro Terbaik, manakala hab agropelancongannya iaitu Selangor Fruit Valley (SFV), dinobatkan sebagai Destinasi Agropelancongan Terunggul.
PKPS menerima anugerah Agensi Industri Agro Terbaik, manakala hab agropelancongannya iaitu Selangor Fruit Valley (SFV), dinobatkan sebagai Destinasi Agropelancongan Terunggul.

Menurut beliau, SFV bukan sekadar destinasi pelancongan, malah berperanan sebagai platform untuk mendekatkan masyarakat dengan sektor pertanian serta memberi pendedahan mengenai teknologi dan inovasi dalam industri agro.

“Melalui SFV, kita bukan sahaja membawa pengunjung melihat dan merasai pengalaman berkaitan pertanian, malah membuka ruang kepada kerjasama dalam bidang penyelidikan, pendidikan dan pembangunan usahawan,” katanya.

Beliau berkata, PKPS akan terus memperkukuh pembangunan SFV menerusi penambahbaikan kemudahan serta pengenalan projek dan tarikan baharu bagi meningkatkan pengalaman pengunjung.

Antara tarikan baharu yang bakal diperkenalkan ialah Kafe Vanila, kemudahan glamping dan Taman Buah Nadir yang menawarkan pengalaman agropelancongan, rekreasi serta pendidikan kepada pengunjung, di samping menyokong usaha pemuliharaan spesies buah-buahan tempatan yang semakin sukar ditemui.

“Pengiktirafan ini memberi semangat kepada kami untuk terus menambah baik SFV,” ujarnya.

Tambah beliau, PKPS menerusi SFV akan terus mempergiatkan usaha promosi bagi menggalakkan pelancongan domestik dan antarabangsa.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Selangor, rakan strategik, agensi kerajaan, komuniti setempat serta seluruh warga kerja PKPS atas sokongan dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan pelbagai inisiatif organisasi.

Sebelum ini, PKPS turut mencatatkan kejayaan pada TIA 2025 apabila menerima anugerah Produk Agropelancongan Terbaik (Best Agro Tourism Product), manakala SFV dinobatkan sebagai Destinasi Pengalaman Agro Terbaik (Best Agro Experience Destination).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!