[VIDEO] Lakukan ritual agama lain: Ibu Aliff Daniel sebak ketika lafaz taubat, akui gagal bimbing anak

A
A
A

SHAH ALAM – Air mata seorang ibu mengalir ketika membaca lafaz pengisytiharan taubat selepas mengakui kelemahan diri dalam mendidik dan membimbing anak kandungnya, Aliff Daniel Adli, 21, sehingga terjebak dengan amalan bercanggah dengan akidah Islam.

Rohizayanti Ramli, 52, berkata, pengisytiharan taubat secara rasmi dan terbuka itu dilakukan atas kesedaran sendiri tanpa sebarang tekanan, paksaan, dorongan atau ancaman daripada mana-mana pihak.

Dalam lafaz pengisytiharan itu, Rohizayanti mengakui segala kecuaian, kelalaian dan kegagalan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang ibu sehingga anaknya terpengaruh dengan fahaman serta doktrin yang menyimpang daripada pegangan akidah Islam sebenar.

"Bahawasanya saya mengakui kegagalan ini berpunca daripada kekurangan ilmu dalam diri saya, kelekaan terhadap tuntutan duniawi serta kelemahan saya dalam memantau, mendidik dan membentengi pemikiran serta persekitaran sehingga anak saya melakukan perkara bercanggah dengan ajaran Islam," katanya ketika membaca pengisytiharan taubat itu di sini pada Khamis

ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Daniel isytihar taubat hari ini

Aliff Daniel, ibu dan adik perempuan isytihar taubat

 Lakukan ritual agama lain: Ibu Aliff Daniel sebak ketika lafaz taubat, akui gagal bimbing anak

Aliff Daniel isytihar taubat, akui berpuasa seminggu sebelum ritual Thaipusam

Aliff Daniel diperintah jalani pemulihan akidah tiga bulan, bertaubat

Artikel Berkaitan:

Selain, Rohizayanti, majlis pengisytiharan taubat itu turut melibatkan Aliff Daniel, 21 dan adiknya, Nur Ranea Ezreen Adli, 19.

Ketiga-tiga individu itu membuat pengisytiharan dan ikrar taubat secara terbuka di hadapan saksi utama iaitu Mufti Utama, Datuk Dr Anhar Opir; Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Pengerusi Jawatankuasa Pengawalan Akidah MAIS, Datin Paduka Dr Khadijah Khambali@Hambali.

Pengisytiharan itu turut disaksikan pemerhati utama, Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Rohizayanti turut berazam untuk kembali sepenuhnya kepada ajaran Islam berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah selain membersihkan diri dan keluarga daripada sebarang amalan atau ritual yang menyeleweng.

Beliau turut berikrar meningkatkan kefahaman agama dengan menghadiri kelas pengajian yang sahih dan bertauliah bagi memperbaiki diri serta membimbing institusi keluarganya.

Rohizayanti turut bertekad membawa anaknya kembali ke pangkal jalan menerusi pendekatan rohani, kasih sayang dan kerjasama erat dengan pihak berkuasa agama.

"Saya memohon agar pihak berkuasa agama, ahli keluarga dan masyarakat dapat membimbing, memantau dan membantu saya dalam proses pencerahan dan pemulihan ini.

"Semoga ALLAH menerima taubat nasuha saya, mengampuni segala kekeliruan saya sebagai seorang ibu serta membuka pintu hidayah luas buat anak saya," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!