Maritim jalankan siasatan dalaman, teliti SOP keselamatan anggota semasa operasi

Mohd Zawawi. Foto Bernama
Mohd Zawawi. Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan menjalankan siasatan dalaman berhubung insiden perlanggaran bot yang mengorbankan seorang anggotanya di perairan Perlis, Isnin lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, siasatan itu bertujuan mengenal pasti sebarang kelemahan atau keperluan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) semasa menjalankan operasi.

"Berkaitan dengan setiap operasi yang dilaksanakan oleh Maritim Malaysia, memang kita mempunyai SOP yang tertentu dan anggota kita sentiasa diingatkan untuk mematuhinya.

"Sekiranya berlaku sebarang kejadian, satu ‘post-mortem’ atau pun siasatan dalaman akan dilaksanakan untuk kita mengenal pasti kelemahan yang kita boleh lakukan penambahbaikan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas pengebumian anggota APMM Laskar Kanan Maritim (Teknikal), Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tengku Sarafudin Badlishah di sini malam tadi.

Mohd Zawawi (tiga, kiri) bersama para pegawai dan anggota Maritim memberi penghormatan terakhir ke atas pusara Allahyarham Mohd Roshaimi di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tengku Sharafudin. Foto Bernama
Mohd Zawawi (tiga, kiri) bersama para pegawai dan anggota Maritim memberi penghormatan terakhir ke atas pusara Allahyarham Mohd Roshaimi di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tengku Sharafudin. Foto Bernama

Mohd Zawawi berkata, selain SOP semasa operasi, siasatan dalaman itu juga bertujuan mengenal pasti penambahbaikan lain termasuk latihan dan kelengkapan yang diperlukan anggota agensi semasa operasi.

"Biasanya (siasatan dalaman) akan dilaksanakan secepat mungkin dan mungkin ia akan mengambil masa beberapa minggu untuk diselesaikan. 

Artikel Berkaitan:

"Kita nak kenal pasti kemungkinan ada beberapa perkara SOP yang perlu dilakukan penambahbaikan untuk kebaikan warga APMM pada masa akan datang bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.

Beliau berkata, kejadian berkenaan tidak akan mematahkan semangat warga Maritim Malaysia, sebaliknya menenjadi dorongan kepada anggota, khususnya yang bertugas di lapangan, untuk terus melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan perairan negara.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, pihaknya akan memastikan kebajikan balu dan dua anak Allahyarham Mohd Roshaimi yang masih bersekolah sentiasa terjaga dengan menyediakan bantuan sewajarnya berdasarkan prosedur sedia ada.

Dalam kejadian pada kira-kira 11 malam itu, Mohd Roshaimi maut manakala tiga lagi anggota cedera selepas bot yang dinaiki mereka dipercayai melanggar binaan konkrit di perairan Kuala Sungai Padang berhampiran Kuala Perlis.

Ketika kejadian, mereka sedang mengejar sebuah bot yang disyaki membawa pendatang asing tanpa izin. - Bernama

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!