Sudahkah sampai masa hentikan pekerja asing?

Berdasarkan keadaan semasa, memang elok sangatlah cadangan pakar ekonomi ini supaya Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing kerana sentimen anti warga asing begitu kuat pada masa ini. Foto hiasan
Berdasarkan keadaan semasa, memang elok sangatlah cadangan pakar ekonomi ini supaya Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing kerana sentimen anti warga asing begitu kuat pada masa ini. Foto hiasan
A
A
A

SEORANG pakar ekonomi memberitahu, Malaysia tidak sepatutnya bergantung kepada pekerja asing lagi dan alasan pekerjaan kotor, bahaya dan sukar (3D) sudah tidak boleh diterima lagi.

Peniaga sepatutnya memberikan gaji yang wajar dan sesuai mengikut kedudukan ekonomi semasa. Untuk itu, barang serta perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan juga sesuai dengan gaji yang diberikan.

Ini bermakna pelanggan perlu bersedia membeli pada harga lebih tinggi untuk membolehkan peniaga dapat membiayai kos pekerja.

Kalau golongan peniaga membaca dan mendengar tentang hujah ini, memang ramai yang akan melompat serta mengatakan kenyataan itu tidak berpijak di bumi yang nyata.

Peniaga akan kata, mereka sukar untuk mendapatkan pekerja terutama orang tempatan yang realitinya ramai yang sudah mempunyai pendidikan yang baik dan membolehkan mereka mendapat pekerjaan sesuai dengan kelayakan.

Selain itu peniaga juga akan mengeluh kalau mereka menjual pada harga yang terlalu tinggi, ada kemungkinan pelanggan tidak akan membeli termasuk berdepan tekanan dengan pesaing yang menawarkan harga lebih rendah.

Tetapi bagi golongan pekerja pula, sudah tentulah gaji yang tinggi menjadi idaman dan hanya orang gila sahaja yang menolak diberikan gaji tinggi. Mereka perlu membiayai kos sara hidup yang tinggi pada masa ini.

Berdasarkan keadaan semasa, memang elok sangatlah cadangan pakar ekonomi ini supaya Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing kerana sentimen anti warga asing begitu kuat pada masa ini.

Malangnya Malaysia sudah terperangkap dalam model ekonomi berupah rendah kerana sudah terlalu lama bergantung kepada tenaga kerja murah.

Artikel Berkaitan:

Jadi untuk atasi masalah ini kerajaan terpaksa masuk campur dan memperkenalkan gaji minimum, tetapi gegak gempitalah sekalian alam di Malaysia bimbang inflasi naik dan majikan tak mampu tanggung kenaikan.

Tetapi kalau tidak ada campur tangan kerajaan, sampai bila-bilalah Malaysia akan terus terperangkap dengan kadar gaji yang rendah dan majikan terus menikmati keuntungan besar.

Satu lagi cara ialah dengan melaksanakan automasi bagi membolehkan produktiviti meningkat dan pekerja mahir atau separa mahir ada keupayaan untuk menguruskan teknologi.

Namun sekali lagi, majikan pula bising, untuk melabur dalam teknologi, mereka tidak mempunyai duit dan sekali lagi meminta supaya kerajaan menyediakan dana untuk membantu mereka.

Nampaknya perjalanan kita masih jauh lagi, kecuali kerajaan ada formula lebih baik untuk selesaikan semua masalah dalam negara iaitu hapuskan pekerja asing, naikkan gaji pekerja, pastikan majikan buat untung tetapi kos sara hidup kekal rendah.

Akhirnya, cabaran Malaysia bukan sekadar bagaimana mengurangkan pekerja asing, menaikkan gaji atau memastikan harga kekal rendah.

Cabaran sebenar ialah bagaimana mengubah struktur ekonomi supaya perniagaan boleh terus berkembang, pekerja memperoleh pendapatan yang lebih baik dan pengguna tidak dibebani kenaikan harga yang melampau.

Ketiga-tiga matlamat ini tidak mustahil dicapai, tetapi ia tidak boleh bergantung pada harapan bahawa majikan akan menyerap semua kos, pekerja akan terus menerima gaji rendah atau kerajaan akan sentiasa menyediakan bantuan.

Malaysia perlu berani membuat perubahan struktur. Majikan perlu meningkatkan produktiviti, pekerja perlu diberikan peluang membina kemahiran, kerajaan perlu merangka dasar yang konsisten dan pengguna perlu memahami kos sebenar penghasilan barang serta perkhidmatan.

Jika tidak, negara terus berdepan percanggahan yang sama: mahu gaji tinggi tetapi tidak mahu harga meningkat, mahu perniagaan berkembang tetapi enggan menanggung kos perubahan, dan mahu mengurangkan pekerja asing tanpa mengubah model ekonomi yang menjadikan buruh murah begitu penting.

Persoalan akhirnya bukan sama ada Malaysia mampu keluar daripada model ekonomi berupah rendah, tetapi sama ada semua pihak bersedia menanggung kos dan melakukan perubahan diperlukan untuk keluar daripadanya.

*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!