Interaksi bersama rakyat mampu baiki persepsi rasa selamat

Tan Sri Lee Lam Thye - Foto Bernama
Tan Sri Lee Lam Thye - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tahap persepsi rasa selamat rakyat dapat ditingkatkan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan lebih banyak interaksi bersama orang awam, kata Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata dengan mengadakan interaksi bersama rakyat, anggota pasukan keselamatan itu dapat menerangkan tindakan yang telah dilaksanakan dalam mengurangkan kadar jenayah di negara ini.

“Ada banyak kes jenayah yang dipaparkan terutamanya di media sosial, ini secara tidak langsung mempengaruhi masyarakat untuk berasa tidak selamat.

“Justeru, PDRM harus memperbanyakkan interaksi dengan berjumpa masyarakat dalam usaha memperbaiki persepsi rasa selamat itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata PDRM juga perlu melaksanakan syor-syor yang dicadangkan sejurus kajian dibuat oleh satu badan bebas yang akan dilantik dalam usaha memperbaiki kembali persepsi rasa selamat masyarakat di negara ini.

Semalam, Bernama melaporkan PDRM akan melantik satu badan bebas bagi mengkaji tahap persepsi rasa selamat rakyat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata meskipun indeks jenayah negara menurun saban tahun, persepsi rasa selamat rakyat di negara ini belum berada pada tahap yang memuaskan. - Bernama

Artikel Berkaitan: