Dadah, jenayah seksual dan ajaran sesat ancam remaja

REMAJA hari ini berdepan dengan pelbagai ancaman yang boleh merosakkan masa depan mereka termasuk penyalahgunaan dadah, jenayah seksual, penipuan dalam talian dan pengaruh ajaran sesat yang boleh membawa kepada keganasan.
Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menjelaskan, kesemua perkara tersebut sepatutnya dipandang serius oleh ibu bapa terutamanya dalam era globalisasi sekarang ini.
Menurut beliau, penyalahgunaan dadah kekal sebagai antara ancaman terbesar kepada golongan muda, malah masalah itu semakin membimbangkan apabila penyeludupan bahan terlarang ke negara ini dilakukan dalam kuantiti yang besar.
“Dadah merupakan musuh nombor satu negara sejak diisytiharkan pada tahun 1983. Bayangkan, berdasarkan statistik terbaharu yang dikeluarkan, lebih 130,000 penagih baharu direkodkan.
“Dalam penjara pula, 86 peratus pesalah dikaitkan dengan kesalahan dadah. Ini menunjukkan betapa seriusnya masalah berkenaan,” katanya ketika menjadi ahli panel forum sempena Persidangan Mawlid 6.0 anjuran Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Beliau berkata, golongan muda perlu menjauhi dadah sejak awal dan tidak mengambil mudah tabiat merokok atau menghisap vape yang boleh mendedahkan mereka kepada persekitaran berisiko yang menjurus kepada dadah.

“Walaupun bukan semua perokok terlibat dadah, anak muda perlu mengelakkan sebarang langkah awal yang boleh membawa mereka mendekati penyalahgunaan bahan terlarang,” katanya.
Ayob Khan turut menegaskan, ketagihan dadah bukan perkara mudah untuk dipulihkan kerana pemulihan memerlukan masa dan usaha berterusan.
"Kegiatan penyeludupan dadah juga semakin serius apabila bahan terlarang dibawa masuk menggunakan kontena dalam kuantiti bertan-tan, berbanding hanya beberapa kilogram sebelum ini.
"Justeru, golongan muda perlu memahami bahawa keuntungan lumayan daripada kegiatan pengedaran dadah tidak berbaloi berbanding risiko hukuman berat yang menanti jika ditangkap," jelasnya.
Jenayah seksual libatkan kanak-kanak
Dalam pada itu Ayob Khan berkata, jenayah seksual yang melibatkan golongan bawah umur turut menjadi kebimbangan termasuk kes membabitkan usia 10 hingga 12 tahun.
Menurut beliau, penggunaan telefon pintar tanpa pemantauan sewajarnya boleh mendedahkan anak-anak kepada kandungan seksual, pergaulan tidak terkawal dan kegiatan menghasilkan serta menjual bahan lucah melalui aplikasi komunikasi.
“Ada anak muda yang menggunakan Telegram untuk menjual video lucah yang boleh memperoleh pendapatan hingga RM30 ribu ringgit sebulan.
“Kalau ibu bapa tidak memantau anak-anak, mereka mungkin tidak tahu apa yang sedang berlaku,” katanya.
Beliau mengingatkan ibu bapa supaya tidak sekadar menyediakan kemudahan telefon pintar kepada anak-anak, sebaliknya mengambil tahu siapa mereka berkawan, kandungan yang diakses dan aktiviti di alam maya.

Selain itu, beliau mengingatkan golongan muda supaya tidak terpedaya dengan tawaran wang mudah sehingga sanggup menjadi keldai dadah atau keldai akaun bagi kegiatan penipuan dalam talian.
Katanya, ada yang sanggup mengambil risiko kerana tertarik dengan ganjaran lumayan, sedangkan mereka boleh berdepan tindakan undang-undang yang serius.
Ajaran sesat cetus keganasan
Mengulas ancaman fahaman ekstremis, Ayob Khan berkata, penglibatan dalam ajaran sesat atau ideologi yang menyimpang boleh menjadi lebih berbahaya apabila pengikut mula menerima pemikiran yang menghalalkan keganasan terhadap pihak lain.
Beliau berkata, antara ciri pemikiran ekstremis ialah menolak pegangan agama arus perdana, menganggap kerajaan sebagai taghut (sesat) serta menghalalkan darah pihak yang dianggap musuh.
Menurutnya, pengalaman beliau menangani ancaman keganasan semasa berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan terdapat kumpulan yang menggunakan tafsiran agama sendiri untuk membenarkan tindakan ganas termasuk serangan terhadap anggota polis dan ancaman kepada keselamatan negara.
“Mereka yakin apa yang dilakukan itu betul. Ada yang percaya apabila mereka mati dalam serangan, mereka akan dianggap syahid. Malah, keluarga mereka sendiri mungkin berbangga dengan tindakan tersebut kerana mempercayai fahaman yang sama,” katanya.
Beliau berkata, pengaruh sedemikian turut menyasarkan remaja berusia 14 hingga 15 tahun untuk direkrut melalui permainan dan didedahkan kepada pemikiran ekstremis sehingga berpotensi melakukan serangan keganasan.
Justeru katanya, ibu bapa dan masyarakat perlu memastikan anak-anak mendapat kefahaman agama yang sahih agar tidak mudah terpengaruh dengan ideologi yang dibawa dari luar dan bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah.

Ayob Khan berkata, pendekatan beragama yang berteraskan pegangan muktabar, termasuk mazhab Syafie serta akidah al-Asyairah dan al-Maturidiah, perlu difahami dengan baik bagi membina masyarakat yang berpegang teguh pada ajaran Islam dan menolak keganasan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

