Isteri bayar separuh rumah, suami mahu poligami

“UNTUK bayar rumah pun saya terpaksa tanggung separuh. Nafkah saya pula tidak cukup tetapi suami masih mahu berkahwin lagi.”
Bayangkan ayat itu keluar daripada mulut seorang isteri di Mahkamah Syariah di Malaysia. Dia bukan sedang meminta kemewahan daripada suaminya, dia cuma mahu suaminya menunaikan apa yang sudah menjadi tanggungjawab.
Rumah yang didiami bersama dibayar separuh oleh sang isteri. Bil-bil ditanggung bersama, keperluan anak-anak turut dikongsi. Dalam diam, isteri sudah menjadi rakan kongsi kewangan dalam rumah tangga.
Tetapi apabila suami mahu berpoligami, tiba-tiba mendakwa dirinya mampu menanggung keluarga baharu. Persoalannya, mampu yang bagaimana? Poligami bukan sekadar persoalan sama ada seorang lelaki boleh berkahwin lebih daripada seorang wanita. Ia persoalan yang jauh lebih berat iaitu mampukah dia menanggung amanah dan akibat daripada keputusan itu?
Tidak dinafikan Islam memang mengharuskan poligami tetapi keharusan itu bukan tiket untuk seorang lelaki mengejar keinginan tanpa mengira kemampuan dan kesannya kepada keluarga sedia ada.
Adil asas utama poligami
Al-Quran sendiri meletakkan soal keadilan sebagai perkara yang sangat serius.
Dalam ayat ketiga surah an-Nisa’, ALLAH SWT mengingatkan bahawa jika seorang suami bimbang tidak mampu berlaku adil, maka cukuplah seorang isteri. Keadilan pula bukan sekadar soal membahagikan malam, ada nafkah, tempat tinggal, keperluan anak-anak, masa, perhatian dan hak isteri yang tidak boleh dipadam hanya kerana suami mempunyai keinginan untuk membina keluarga baharu.
Dalam realiti kehidupan, persoalan kemampuan inilah yang kadangkala membawa pasangan ke Mahkamah Syariah. Bukan semua permohonan poligami bermakna seorang lelaki itu benar-benar mempunyai kemampuan kewangan yang kukuh.

Ada keadaan apabila pendapatan suami sederhana, komitmen sedia ada tinggi dan keperluan keluarga pertama sendiri masih belum dapat ditunaikan dengan sempurna.
Lebih menyentuh hati apabila isteri sendiri terpaksa membantu menanggung kehidupan keluarga. Bayaran rumah yang sepatutnya menjadi sebahagian tanggungjawab suami terpaksa dikongsi sehingga 50 peratus.
Ketika kewangan suami tidak mencukupi, isterilah yang menjadi orang yang menampung kekurangan. Namun, apabila tiba soal poligami, suami masih mahu mengatakan bahawa dirinya mampu.
Di sinilah kita perlu berhenti seketika dan membezakan antara isteri membantu dengan suami benar-benar mampu. Kemampuan isteri membantu keluarga tidak seharusnya dijadikan ukuran bahawa suami mempunyai kemampuan untuk menanggung sebuah keluarga tambahan.
Isteri membantu kerana mahu memastikan rumah tangga terus berdiri, bukan kerana tanggungjawab telah berpindah ke bahunya. Jika untuk menyediakan tempat tinggal bagi keluarga pertama pun isteri terpaksa menanggung separuh kos, bagaimana pula dengan tempat tinggal untuk keluarga kedua?
Jika nafkah keluarga pertama masih tidak mencukupi, dari mana datangnya kemampuan untuk menggandakan nafkah? Jika anak-anak daripada perkahwinan pertama masih memerlukan perhatian dan perbelanjaan, adakah menambah tanggungan baharu akan menyelesaikan masalah atau menambahkan beban?
Jangan tunggang 'sunnah'
Lebih membimbangkan apabila istilah 'sunnah' digunakan untuk memenangkan keinginan sendiri. Benar, poligami diharuskan oleh syarak tetapi agama tidak mengajar seseorang mengambil hanya bahagian yang sesuai dengan kehendaknya lalu meninggalkan bahagian amanah yang berat.

Rasulullah SAW juga mengajar bahawa sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling baik terhadap keluarganya. Maka apa gunanya sibuk mengejar cinta wanita kedua jika hak wanita pertama masih terabai? Apa gunanya membina rumah tangga baharu jika rumah tangga yang sedia ada sedang bergelut kerana nafkah yang tidak mencukupi?
Jangan sampai kita mengejar sesuatu yang kita anggap sebagai pahala tetapi pada masa sama meninggalkan kewajipan yang sudah jelas di hadapan mata.
Cinta kepada wanita mungkin membuat seorang lelaki mahu mendapatkan apa yang diinginkannya tetapi cinta kepada ALLAH sepatutnya membuatkan seorang lelaki sanggup menahan keinginan apabila keinginan itu boleh menyebabkan hak orang lain terabai.
Mungkin sebelum lelaki bertanya, “Bolehkah aku mempunyai isteri kedua?”, ada soalan yang lebih penting kepada dirinya sendiri: “Sudahkah aku menjadi suami yang benar-benar mampu kepada isteri yang pertama?”
Ini kerana ukuran seorang lelaki bukan pada berapa ramai wanita yang mampu dimilikinya tetapi berapa banyak amanah yang mampu dipikulnya tanpa menzalimi sesiapa.

Jika membayar separuh rumah pun masih memerlukan bantuan isteri, jangan terlalu cepat mendakwa mampu menanggung dua keluarga. Kerana pada akhirnya di sisi ALLAH, yang akan dipersoalkan bukan berapa ramai isteri yang berjaya dikahwini tetapi berapa banyak hak manusia yang telah kita tunaikan sebelum mengejar hak kita inginkan.
***RABIAH ABDUL RAHMAN merupakan Guru Bahasa Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
