Padah salah guna pas khas petugas kesihatan milik ibu

 Noorzainy Mohd Noor
Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menyamar sebagai penjawat awam dengan menggunakan pas khas petugas kesihatan ketika melalui sekatan jalan raya di Tol Bertam di sini petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.45 petang, lelaki berusia 25 tahun itu memberikan alasan mahu mengambil ibunya yang bertugas di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan tidak tahu perbuatannya menggunakan pas khas milik ibunya adalah satu kesalahan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pas khas yang dikeluarkan itu khusus digunakan untuk penama petugas barisan hadapan sahaja dan tidak boleh disalah guna oleh orang lain termasuk ahli keluarga.

Menurutnya, soal siasat yang dilakukan terhadap remaja itu mendapati dia sengaja keluar awal untuk bersiar-siar sebelum mengambil ibunya di hospital.

"Lelaki berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU dan kini direman untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dia dia juga akan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11, Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan Op Covid-19 yang dilakukan di daerah SPU, Noorzainy berkata, polis menahan 13 lelaki termasuk lima warga asing yang didapati ingkar dengan PKP semalam.

Katanya, semua yang ditahan berusia 20 hingga 30 tahun itu dikesan di beberapa lokasi berbeza di Kepala Batas, Sungai Dua dan Mak Mandin di sini.

Artikel Berkaitan:

"Semasa rondaan pemantauan dilaksanakan mendapati mereka berkumpul walaupun amaran untuk bersurai telah diberikan, namun mereka tetap degil dan masih melepak di lokasi sama.

"Selain itu, kita turut menahan tujuh lelaki yang berkumpul di sebuah rumah dan pemeriksaan yang dibuat menjumpai beberapa bungkusan air ketum di dalam rumah terbabit,"katanya.

Noorzainy berkata, semakan mendapati ada di kalangan mereka mempunyai rekod jenayah lampau dan semua yang ditahan kini telah direman untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11, Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.