PGA tahan 641 pendatang tanpa izin di sempadan Malaysia-Thailand

KOTA BHARU - Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 641 pendatang tanpa izin termasuk 134 wanita menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, ia melibatkan rakyat dari 10 negara dengan warga Myanmar merekodkan jumlah tertinggi iaitu 428 orang termasuk 106 wanita.
"Selain itu mereka terdiri daripada 73 warga Bangladesh, Indonesia (39 orang), Thailand (38 orang), China (21 orang), India (19 orang), Nepal (16 orang), Vietnam (empat orang), Pakistan (dua orang) dan Nigeria (seorang),” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Ahmad Radzi berkata, kejayaan itu hasil risikan dan operasi berterusan Briged Tenggara PGA dalam membanteras kemasukan pendatang melalui laluan berisiko di sempadan.
Beliau berkata, anggota di lapangan sentiasa memantau sebarang pergerakan dan aktiviti mencurigakan bagi menangani kemasukan pendatang tanpa izin ke Malaysia termasuk mereka yang bergerak dalam kumpulan kecil. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
