'Jangan jual tanah, nanti hilang tempat berteduh'

KOTA BHARU - "Kalau tiada tanah, kita nak duduk di mana?"
Demikian peringatan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud kepada masyarakat Melayu supaya tidak sewenang-wenangnya menjual tanah milik mereka sehingga berisiko kehilangan aset penting untuk kelangsungan hidup generasi akan datang.
Beliau berkata, tanah bukan sekadar harta untuk diwarisi, malah menjadi asas kepada pemilikan kediaman dan jaminan kehidupan yang perlu dipelihara demi kepentingan keluarga dalam jangka panjang.
Ujarnya, Islam turut mengajar umatnya supaya menjaga harta, termasuk tanah dan rumah, agar kepentingan pemilikan dapat dikekalkan.
"Tanah ini aset yang sangat penting. Jangan jual tanah, nanti hilang tempat berteduh" katanya semasa menjawab soalan Datuk Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) mengenai keluasan tanah rizab Melayu semasa Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini pada Khamis.
Mohd Nassuruddin memberitahu, kerajaan negeri mahu memastikan tanah milik orang Melayu bukan sahaja terus terpelihara, malah dapat dimanfaatkan untuk pembangunan yang memberikan nilai tambah kepada pemiliknya.
Beliau berkata, penjualan tanah bukanlah sesuatu yang dilarang secara mutlak, terutama jika terdapat keperluan yang tidak dapat dielakkan.
Bagaimanapun ujarnya, pemilik perlu mempertimbangkan dengan teliti keputusan menjual tanah dan memikirkan kepentingan memiliki tanah atau kediaman sebagai persediaan untuk masa hadapan.
Beliau turut merujuk hadis Rasulullah SAW berkaitan keberkatan harta hasil jualan rumah atau tanah, khususnya apabila wang yang diperoleh tidak digunakan untuk mendapatkan rumah atau tanah lain.
Menurutnya, perkara itu menjadi antara peringatan penting supaya masyarakat tidak memandang ringan kepentingan mengekalkan pemilikan tanah.
Mohd Nassuruddin memberitahu, usaha kerajaan negeri memelihara tanah rizab Melayu bertujuan memastikan kepentingan pemilikan orang Melayu tidak terhakis, di samping membolehkan tanah berkenaan dibangunkan secara terancang.
Beliau menegaskan, pembangunan dan pemeliharaan tanah perlu bergerak seiring supaya aset berkenaan terus memberikan manfaat ekonomi kepada pemilik Melayu, selain menjamin kepentingan generasi akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

