20 pelancong Israel didakwa mencuri di pulau peranginan

JAKARTA – [DIKEMAS KINI] Sekumpulan kira-kira 20 pelancong wanita Israel terpaksa membayar AS$3,000 (RM12,193) kepada peniaga tempatan bagi menyelesaikan pertikaian berhubung dakwaan mencuri barangan di beberapa kedai di Pulau Gili Meno, Indonesia.
Menurut laporan media tempatan, kejadian itu tercetus pada Jumaat lalu selepas seorang pemilik kedai mendakwa beberapa barangan termasuk cincin, minyak wangi dan pakaian renang hilang ketika kumpulan pelancong berkenaan mengunjungi premisnya.
Susulan itu, peniaga tempatan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum menyebarkan gambar kumpulan terbabit di media sosial bagi membantu mengenal pasti individu yang disyaki terlibat.
Keadaan menjadi tegang apabila pihak berkuasa tempatan bersama beberapa pemilik kedai dilaporkan hadir ke hotel penginapan pelancong berkenaan untuk memeriksa beg dan barangan peribadi mereka.
Seorang pelancong mendakwa pemeriksaan itu amat memalukan kerana keseluruhan kumpulan dianggap sebagai suspek walaupun dakwaan kecurian hanya membabitkan individu tertentu.
“Ia satu pengalaman yang sangat memalukan dan sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya.
Menurut kumpulan itu, pemeriksaan berkenaan tidak menemukan barangan yang didakwa dicuri, namun mereka akhirnya bersetuju membayar AS$3,000 kepada peniaga tempatan bagi mengelakkan pertikaian berlarutan.
Seorang wanita yang secara khusus dituduh mencuri bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa beliau tidak mengambil sebarang barangan.
Kumpulan pelancong terbabit kemudian meninggalkan Gili Meno dengan menaiki feri menuju ke Bali pada petang Sabtu sebelum pulang ke Israel pada keesokan harinya.
Setakat laporan itu diterbitkan, belum ada pengesahan rasmi pihak berkuasa Indonesia mengenai hasil siasatan atau status undang-undang pembayaran berkenaan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
