Hebron jadi sasaran kempen pembersihan etnik

TEL AVIV - Kumpulan hak asasi manusia, B'Tselem mendakwa Israel sedang melancarkan kempen 'pembersihan etnik' di bandar Hebron di Tebing Barat dengan pemindahan paksa ribuan penduduk Palestin dan merobohkan kediaman serta bangunan awam.
Ia memberi amaran bahawa tindakan sedemikian berisiko mengosongkan kawasan kejiranan Palestin daripada penduduk asal, sekali gus menghapuskan kewujudan mereka di kawasan berkenaan.
Pencerobohan besar-besaran itu berlaku selepas insiden tembakan berhampiran Hebron yang mengorbankan dua askar Israel pada Jumaat lalu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bersama Menteri Pertahanan, Israel Katz menggunakan insiden itu sebagai alasan untuk melaksanakan semula pendekatan ketenteraan tidak berperikemanusiaan seperti yang pernah diterapkan sebelum ini.
“Kami akan melaksanakan 'model agresif' serupa,” kata Netanyahu, merujuk kepada kempen pencerobohan di kem-kem pelarian di Jenin, Tulkarm dan Nur Shams pada tahun lalu.

B'Tselem yang berpusat di Tel Aviv mendakwa kenyataan pemimpin 'ekstremis' itu jelas menunjukkan rancangan berkenaan bukan sekadar ancaman memandangkan tindakan di lapangan dilaporkan telah bermula sejak Sabtu lalu.
Menurutnya, operasi ketenteraan berskala besar yang dilaksanakan di kem-kem pelarian di utara Tebing Barat itu telah menyebabkan lebih 33,000 penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal.
Mereka kini bimbang tindakan serupa akan diperluaskan ke Hebron, sekali gus mencetuskan gelombang pemindahan penduduk dan kemusnahan harta benda yang lebih besar.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dilaporkan telah mengepung bandar Hebron dan memulakan kerja-kerja merobohkan struktur milik penduduk Palestin.

Pada masa sama, Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich mengumumkan empat pos penempatan haram baharu berasaskan pertanian di kawasan Bukit Hebron Selatan.
B'Tselem memberi amaran langkah pengusiran ribuan penduduk Palestin dan kemusnahan meluas di Hebron secara terang-terangan satu bentuk jenayah perang.
Sementara itu, Pusat Hak Asasi Manusia Palestin (PCHR) memetik anggaran awal daripada pihak perbandaran Hebron memaklumkan kira-kira 500 keluarga melibatkan lebih 2,600 penduduk telah dipaksa meninggalkan kediaman mereka di kawasan seluas 35 hektar.
Pasukan Israel mengenakan lockdown di kawasan berkenaan dan meneruskan pemeriksaan rumah ke rumah hingga menyebabkan penduduk yang dipindahkan berada dalam ketidakpastian mengenai bila mereka dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Serbuan itu menyasarkan kawasan Ein Deir Baha dan kawasan kejiranan sekitarnya selain melibatkan langkah perobohan rumah kediaman, premis perniagaan serta kemudahan perindustrian di Farsh al-Hawa.
Kepungan tentera itu menimbulkan kebimbangan wilayah berkenaan bakal menyaksikan kemusnahan dahsyat seperti di Genting Gaza akibat kempen pengeboman ganas berterusan rejim Zionis sejak lebih tiga tahun lalu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

