Anak Raja Thailand selamat jalani pembedahan otak di Malaysia

BANGKOK – Putera kepada Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn dilaporkan selamat menjalani pembedahan otak kali kedua di Malaysia pada Selasa selepas bertahun-tahun berdepan masalah kesihatan akibat penyakit genetik yang menyebabkan pertumbuhan ketumbuhan pada saraf.
Dr Chakriwat Vivacharawongse, 43, yang juga dikenali sebagai Than Aong, sebelum ini mengakui berasa takut dan tertekan menjelang pembedahan tersebut, namun tetap menaruh harapan terhadap kepakaran pasukan perubatan Malaysia.
Menurut laporan The Thaiger, pembedahan pada 27 Oktober itu berjaya membuang dua ketumbuhan dalam otaknya, manakala beliau dilaporkan sudah sedar dan mampu memberikan respons serta bercakap sedikit.
Bagaimanapun, Chakriwat masih ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) bagi membolehkan keadaan kesihatannya dipantau secara dekat oleh pasukan perubatan.
'Saya gembira tetapi takut'
Sebelum menjalani pembedahan, Chakriwat berkongsi perasaan menerusi hantaran bertulis dan rakaman video di Facebook, sambil mengakui prosedur tersebut memberikan tekanan emosi kepadanya.
“Saya gembira kerana akan menjalani pembedahan otak kali kedua dalam hidup. Ia satu-satunya cara untuk memperbaiki keadaan kesihatan saya ketika ini, tetapi pada masa sama saya berasa takut,” katanya.
Chakriwat yang juga seorang doktor menghidap neurofibromatosis jenis 2 (NF2), iaitu penyakit genetik yang menyebabkan ketumbuhan terbentuk pada saraf, termasuk di bahagian otak dan saraf tunjang.
Menurutnya, penyakit berkenaan sukar dirawat dan telah menyebabkan beliau menjalani lebih 10 pembedahan pada pelbagai bahagian badan sepanjang hidupnya.
Beliau juga pernah menerima pelbagai rawatan termasuk radioterapi, Gamma Knife, CyberKnife dan kemoterapi bagi mengawal pertumbuhan ketumbuhan tersebut.
“Begitulah kehidupan. Kita semua perlu terus berharap, mempunyai semangat yang kuat dan sokongan yang kukuh.
“Saya mungkin tidak dikurniakan tubuh yang paling sihat, tetapi satu-satunya jalan untuk pulih adalah dengan mengharungi semua ini,” katanya.
Yakin dengan doktor Malaysia
Chakriwat menjelaskan bahawa pembedahan di luar negara turut menimbulkan kebimbangan kerana beliau tidak mengenali ramai orang di Malaysia.
Bagaimanapun, kunjungan beberapa rakan dan seorang sami memberikan kekuatan kepadanya ketika menghadapi tempoh sukar tersebut.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap pasukan perubatan diketuai Dr Regunath selepas beberapa kali berbincang mengenai prosedur pembedahan serta hasil rawatan yang diharapkan.
“Saya menyerahkan nyawa saya kepada pasukan perubatan Dr Regunath. Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap pakar bedah dan petugas kesihatan di Malaysia,” katanya.
Chakriwat turut merakamkan penghargaan kepada doktor dan jururawat yang pernah merawatnya di Amerika Syarikat serta Thailand.
Beliau kemudian memaklumkan bahawa teman wanitanya akan menguruskan akaun Facebook dan berkongsi perkembangan kesihatannya sepanjang tempoh pemulihan.
Menurut laporan The Thaiger pada Rabu, teman wanitanya yang dikenali sebagai Nuch mengesahkan bahawa pembedahan berjalan lancar dan kedua-dua ketumbuhan berjaya dikeluarkan.
Beliau turut memaklumkan bahawa Chakriwat sudah sedar selepas pembedahan, namun masih memerlukan pemantauan rapi di ICU.
Pernah bimbang kehilangan nyawa
Terdahulu pada September, Chakriwat mendedahkan keadaan kesihatannya semakin membimbangkan apabila beberapa pakar neurologi memberi amaran bahawa kelewatan rawatan berisiko menyebabkan beliau terlantar atau meninggal dunia.
Beliau pada mulanya menyatakan hasrat mendapatkan rawatan di Thailand kerana bimbang tidak mampu menanggung kos pembedahan di Malaysia atau Amerika Syarikat.
Dalam kenyataan terdahulu, Chakriwat turut mendedahkan bahawa beliau mempunyai dua ketumbuhan besar dalam otak yang memerlukan pembedahan segera.
Bagaimanapun, beliau akhirnya memilih untuk menjalani rawatan di Malaysia selepas mengadakan perbincangan dengan pasukan perubatan yang akan mengendalikan prosedur berkenaan.
Chakriwat merupakan putera ketiga Raja Maha Vajiralongkorn dan pernah melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Amerika Syarikat.
Setakat perkembangan yang dilaporkan pada 28 Oktober, belum ada maklumat mengenai tarikh beliau dibenarkan keluar dari ICU atau hospital. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

