Tanah runtuh: Polis kawal enam rumah dikosongkan

GEORGE TOWN - Polis meneruskan kawalan keselamatan di kawasan tanah runtuh di Paya Terubong, di sini bagi memastikan enam rumah yang dikosongkan tidak diceroboh selain mengelakkan orang ramai menghampiri lokasi berkenaan berikutan risiko berlaku runtuhan susulan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, tempoh kawalan di kawasan terbabit belum ditetapkan kerana pihaknya masih menunggu hasil perbincangan dalam mesyuarat teknikal pihak berkuasa tempatan.
Menurutnya, penugasan anggota polis di lokasi itu ketika ini hanya tertumpu kepada aspek keselamatan memandangkan penilaian risiko tanah runtuh perlu dilakukan oleh pihak teknikal yang mempunyai kepakaran berkaitan.
“Setakat ini kita belum tentukan tempoh kawalan kerana polis bukan pakar dari segi teknikal mengenai tanah runtuh. Kita hanya memastikan keselamatan kawasan dan enam rumah yang ditinggalkan penghuni supaya tidak diceroboh mana-mana pihak.
“Anggota polis akan terus berada di lokasi sehingga ada keputusan lanjut berdasarkan hasil mesyuarat pihak teknikal,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian pada petang Isnin.
Beliau menambah, kawasan berkenaan ditutup kepada orang ramai atas faktor keselamatan berikutan kemungkinan berlaku tanah runtuh susulan sekiranya hujan berterusan.
Katanya, berdasarkan pandangan pakar, hujan yang dijangka turun boleh meningkatkan risiko berlakunya runtuhan tanah sekali lagi.
"Sehubungan itu, saya menasihatkan penduduk sekitar dan orang luar supaya mematuhi arahan polis serta tidak menghampiri kawasan yang telah dilarang masuk.
"Penghuni rumah yang terjejas juga telah ditempatkan di hotel sementara menunggu perkembangan lanjut berhubung situasi di kawasan ini," ujarnya lagi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.36 pagi Ahad, seorang doktor, Wong Kar Lin, 73 maut selepas tertimbus di bawah runtuhan konkrit apabila tanah runtuh melanda sebuah rumah di Lebuh Rambai 13, Taman Seri Rambai, Paya Terubong, Air Itam.
Kejadian itu turut melibatkan isteri mangsa, Chang Mei Nuo, 67 dan ibu mertuanya, Wong Poh Lim, 80-an.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka terselamat selepas sempat keluar dari kediaman tersebut ketika kejadian berlaku.
Dalam perkembangan sama, Abdul Rozak berkata, pihaknya akan melengkapkan siasatan berhubung kejadian itu walaupun keputusan bedah siasat mangsa telah diperoleh.
Menurutnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan akan diteruskan sehingga lengkap.
Mengulas mengenai tindakan awal pihak berkuasa, Abdul Rozak berkata, polis menerima panggilan daripada anak mangsa yang memaklumkan kejadian tanah runtuh sehingga menyebabkan mangsa terperangkap di dalam rumah.
Susulan panggilan itu, pegawai polis yang bertugas serta pasukan bomba bergegas ke lokasi bagi membantu operasi menyelamat mangsa.
Beliau turut mengesahkan tiada laporan polis lain diterima berkaitan kejadian berkenaan selain maklumat awal mengenai tanah runtuh yang menimpa rumah dan menyebabkan mangsa terperangkap.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

