Tapir mati cedera ditikam

Usaha Penolong Pegawai veterinar Pahang untuk membantu menyelamatkan tapir itu semalam gagal.
Usaha Penolong Pegawai veterinar Pahang untuk membantu menyelamatkan tapir itu semalam gagal.
A
A
A

KUANTAN - Seekor tapir jantan ditemui dalam keadaan lemah di dalam parit sebuah ladang kelapa sawit di sini dipercayai ditikam individu tidak bertanggungjawab tengah hari semalam.

Bagaimanapun haiwan berkenaan mati selepas hampir sejam usaha menyelamatkannya dilakukan kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang dan anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan.

Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, pihaknya mendapat aduan daripada kakitangan ladang sawit Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Puspa) Gambang yang melihat haiwan itu dalam keadaan lemah terjatuh dalam parit.

Menurutnya, empat kakitangan Perhilitan Kuantan bersama lima anggota APM Kuantan segera ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat dan memindahkan haiwan terbabit.

"Hasil pemeriksaan fizikal, kita mendapati tapir jantan dewasa seberat 320 kilogram (kg) itu berada dalam keadaan terlalu lemah, tidak mampu berdiri, pernafasan tidak stabil, lidah berwarna pucat dan berlaku kejang otot yang serius.

"Susulan daripada itu, pihak kita mengesan kecederaan serius di belakang sebelah kanan yang dianggarkan selebar 5.08 sentimeter (sm) dan 2.54 sm dalam yang menyebabkan kerosakan pada ginjal haiwan terbabit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Rozidan berkata, kecederaan itu mungkin disebabkan tusukan senjata tajam yang dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab sejak seminggu lalu.

"Kita tidak menolak kemungkinan ia dari perbuatan individu terhadap haiwan yang dilindungi ini sebelum haiwan terbabit ditemui dalam keadaan terlalu lemah semalam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu beliau berkata, usaha Penolong Pegawai Veterinar Pahang yang turut membantu menyelamatkan tapir terbabit gagal disebabkan keadaannya terlalu lemah dan mungkin berlaku jangkitan kuman pada ginjalnya.

Katanya, berikutan itu bangkai haiwan berkenaan dihantar ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Jenderak Selatan untuk tujuan bedah siasat.