Mansour Abbas kingmaker dalam politik Israel

TEL AVIV - Pilihan raya Israel yang dijadualkan pada 27 Oktober ini berpotensi menyaksikan parti-parti kecil memainkan peranan besar dalam menentukan kerajaan seterusnya.
Pemilihan kali ini berlangsung dalam suasana politik yang tegang apabila Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berdepan saingan sengit daripada beberapa tokoh pembangkang. Tinjauan menjelang pengundian menunjukkan bahawa tiada satu pun parti dijangka memperoleh majoriti mudah di Parlimen (Knesset) yang mempunyai 120 kerusi.
Bagi membentuk kerajaan, sesebuah gabungan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 61 ahli Knesset. Oleh itu, jumlah kerusi yang dimenangi parti-parti kecil boleh menjadi faktor penentu dalam rundingan pembentukan kerajaan.
Antara tokoh yang menjadi perhatian ialah pemimpin Parti Ra’am, Mansour Abbas, 52, yang berpotensi memainkan peranan penting sekiranya keputusan pilihan raya menyaksikan tiada gabungan memperoleh majoriti yang jelas.
Strategi politik beliau memberi tumpuan kepada isu yang dekat dengan kehidupan masyarakat Arab di Israel termasuk keselamatan komuniti, jenayah dan penyediaan perkhidmatan awam. Pendekatan pragmatik itu membezakan beliau dengan beberapa pemimpin parti Arab lain yang mengambil pendirian lebih tegas terhadap kerajaan 'ekstremis' Israel.
Bagaimanapun, perjalanan Abbas untuk muncul sebagai kingmaker bukanlah mudah. Netanyahu dan beberapa tokoh utama pembangkang sudah menyatakan keengganan mereka untuk membentuk gabungan kerajaan bersama parti-parti Arab.
Keadaan sedemikian mewujudkan dilema politik apabila Ra’am berpotensi memiliki kerusi yang penting dalam menentukan majoriti di Knesset, namun penyertaannya dalam gabungan kerajaan masih berdepan halangan.
Pengalaman beliau pada 2021 mengukuhkan kedudukannya sebagai king maker apabila Ra’am menyertai kerajaan gabungan pimpinan Naftali Bennett dan Yair Lapid. Langkah bersejarah itu menjadikan Ra’am parti Arab pertama dalam tempoh beberapa dekad yang menyertai gabungan kerajaan Israel secara rasmi.

Bijak atur strategi
Mansour Abbas dilahirkan pada 22 April 1974 di Maghar, sebuah bandar di utara Israel. Beliau membesar dalam keluarga Arab Muslim dan kemudiannya melanjutkan pengajian dalam bidang pergigian di Universiti Hebrew di Baitulmaqdis. Selain bidang pergigian, beliau turut mendalami sains politik di Universiti Haifa dan menjadi imam di masjid.
Beliau mula aktif dalam gerakan politik termasuk Gerakan Islam di Israel. Pada 2007, beliau menjadi Setiausaha Agung parti Ra’am sebelum dipilih untuk menerajui parti tersebut pada 2018.
Abbas muncul sebagai antara tokoh yang paling bijak mengatur strategi dan mempunyai pendekatan politik yang luar biasa di Israel. Beliau dianggap berani, berfikiran di luar kotak dan cekap membuat percaturan.
Di bawah kepimpinannya, Ra’am telah menjadi antara parti yang paling realistik dalam arena politik Israel tanpa mengorbankan prinsip asasnya. Beliau merupakan penyokong kuat kepada penyelesaian dua negara dan pengkritik lantang pendudukan Israel.
Menjelang pilihan raya, Abbas mengambil dua langkah strategik untuk meningkatkan peluang partinya menyertai kerajaan. Beliau mengumumkan pemisahan Ra’am daripada Majlis Syura bagi membentuk parti yang lebih berteraskan kepentingan masyarakat. Selain itu, beliau berunding dengan bekas Timbalan Menteri Keselamatan, Yoav Segalovitz daripada Parti Yesh Atid untuk menyertainya sebagai calon nombor dua Ra’am.
Kerjasama Abbas dengan ahli politik Yahudi berfahaman Zionis merupakan tindakan terancang untuk meningkatkan penerimaan Ra’am dalam arena politik Israel.
Jika berjaya, usaha itu bukan sahaja dapat membuka peluang kepada parti yang mewakili masyarakat Arab Palestin untuk menyertai kerajaan malah berpotensi merapatkan hubungan antara masyarakat Arab dan Yahudi yang selama ini terlibat konflik. Abbas sememangnya bijak memahami landskap politik Israel khususnya pendirian parti-parti yang mewakili komuniti Yahudi.
Namun, pendekatannya berisiko kehilangan sokongan pengundi tradisional yang menganggap beliau terlalu bertolak-ansur. Sekiranya Ra’am memperoleh sokongan yang kukuh pada pilihan raya, Abbas berpeluang mempengaruhi pembentukan kerajaan, sekali gus membuka ruang kepada perubahan politik Israel yang lebih inklusif. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

