Kota Bharu tidak boleh jadi kawasan niaga warga asing - ADUN

Keresahan penduduk tempatan berhubung kehadiran warga asing yang semakin ketara di pusat bandar perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa. Foto hiasan
Keresahan penduduk tempatan berhubung kehadiran warga asing yang semakin ketara di pusat bandar perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa. Foto hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Pusat bandar Kota Bharu tidak boleh dibiarkan menjadi kawasan niaga warga asing dan lokasi mereka berkembang, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.

Dr Hafidzah berkata, keresahan penduduk tempatan berhubung kehadiran kumpulan itu yang semakin ketara di pusat bandar itu perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, beliau sendiri pernah membangkitkan isu berkenaan serta kebimbangan masyarakat dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebelum ini.

“Saya tidak mahu pusat bandar Kota Bharu menjadi kawasan yang kegiatan perniagaan dan kehidupan masyarakatnya berkembang.

“Perlu ada pemantauan serta penguatkuasaan yang berkesan, lebih-lebih lagi jika melibatkan PATI dan aktiviti perniagaan yang tidak mematuhi peraturan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu membabitkan aktivis, Abbe Hae atau nama sebenarnya Mohd Azhan Mohd Adnan bersama 15 individu lain yang terpaksa bermalam di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu kerana dipanggil memberi keterangan berhubung tindakan menyerbu sebuah kedai yang didakwa menggaji warga asing.

Dr Hafidzah berkata, pada masa sama, beliau memahami tanggungjawab polis untuk menyiasat aduan yang diterima serta memastikan ketenteraman awam terus terpelihara.

Justeru, beliau berharap siasatan berhubung isu berkenaan dilaksanakan secara profesional, adil dan telus dengan menghormati hak semua pihak.

“Keresahan rakyat tidak boleh dipandang ringan namun undang-undang juga tidak boleh diketepikan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menggesa pihak berkuasa tempatan khususnya Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam meningkatkan kerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan agensi berkaitan.

Dr Hafidzah juga mengingatkan masyarakat supaya melihat isu berkenaan secara rasional dan objektif agar kemarahan terhadap sesuatu kejadian tidak menjejaskan kepercayaan terhadap institusi penguatkuasaan atau mencetuskan kebencian terhadap sesuatu komuniti.

“Rakyat berhak menyuarakan kebimbangan, pihak berkuasa bertanggungjawab mendengar dan bertindak tapi setiap orang tertakluk kepada undang-undang.

“Sebagai ADUN, saya akan terus membawa suara dan kebimbangan penduduk kepada pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan Kota Bharu kekal selamat, teratur dan sejahtera untuk penduduknya,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!