Perlis lanjut tangguh solat Jumaat, tarawih dan imarah masjid sehingga 31 Mei

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KANGAR - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melanjutkan penangguhan solat Jumaat, tarawih dan sebarang aktiviti mengimarahkan masjid dan surau di seluruh Perlis sehingga 31 Mei ini.

Menurutnya, pengumuman ini dikeluarkan bagi menjunjung titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullai dizahirkan baginda melalui surat perutusan kepada Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada 17 April.

"Tindakan pelanjutan ini dibuat setelah baginda melihat dan mengamati senario semasa wabak virus koronavirus (Covid-19) dan pelbagai usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak berwajib bagi memutuskan rangkaian penularan wabak berkenaan.

"Tuanku Raja Perlis bertitah sekiranya penularan wabak Covid-19 dapat dibendung dan diatasi dalam tempoh lebih awal, maka satu titah baharu akan dikeluarkan oleh baginda," katanya.

Sementara itu, Mohd Asri ketika mengulas titah baginda berkata, tindakan berkenaan adalah tepat ketika Perlis menjadi negeri yang tidak mempunyai kes aktif Covid-19 dan ini menjadi tanggungjawab semua untuk melipatgandakan usaha bagi memastikan tujuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini mencapai maksud dan tujuannya.

"Tindakan pelanjutan ini adalah bertepatan dengan 'maslahah aamah' supaya dapat mengelakkan gelombang kedua Covid-19 daripada melanda negeri ini. Panduan kepada masyarakat dalam melaksanakan ibadah, khususnya dalam bulan Ramadan bakal dikeluarkan untuk dijadikan rujukan," katanya.

Sebagai rekod, Perlis menjadi negeri pertama yang mengumumkan pembatalan solat Jumaat pada 13 Mac melalui titah perutusan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs setelah diperkenankan oleh Raja Perlis.

Perlis juga merupakan negeri pertama di negara ini yang menutup masjid dan surau dari sebarang aktiviti kecuali untuk seruan azan dan jemaah oleh 3 orang pegawai masjid yang bertugas sahaja.

Artikel Berkaitan: