Dua lelaki direman kes bunuh kanak-kanak perempuan

KOTA KINABALU - Dua lelaki termasuk seorang warga asing direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang mayatnya ditemukan di Kampung Numbak, Sepanggar, dekat sini semalam.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek berusia 39 dan 42 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali.
Permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dikemukakan oleh pegawai penyiasat ASP La Paula Abd Muis.
ARTIKEL BERKAITAN: Budak perempuan hilang ditemukan mati dibunuh
Budak perempuan mati dibunuh: Polis tahan dua lelaki

Kedua-dua lelaki itu ditahan semalam susulan penemuan mayat kanak-kanak warga tempatan Nurjilya Abdullah yang dilaporkan hilang sejak 13 Julai lepas.
Mayat mangsa ditemukan di kawasan cerun semak berhampiran sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Numbak, Sepanggar.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- Bernama
Terdahulu, seorang kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu dipercayai dibunuh selepas mayatnya ditemukan di kawasan semak atas bukit Kampung Numbak di sini pada Rabu.
Mayat Nurjilya yang ditemukan dalam keadaan telah mereput disahkan oleh ibunya sendiri.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat tersebut berhampiran sebuah rumah dalam pembinaan di kawasan cerun semak belukar atas bukit pada jam 10.38 malam.
"Hasil pemeriksaan awal di lokasi oleh pasukan forensik mendapati mayat mangsa berada dalam keadaan telah mereput.
"Pengecaman identiti kemudiannya dibuat oleh ibu mangsa berdasarkan pakaian yang dipakai oleh mangsa ketika dilaporkan hilang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik mendapati punca kematian dipercayai daripada kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala yang disyaki akibat hentakan menggunakan objek keras dan tumpul.
"Bertindak atas maklumat dan siasatan yang dijalankan, pihak polis telah berjaya menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes ini.

"Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan diteruskan," katanya.
Syed Lot berkata lagi, motif kejadian masih dalam siasatan dan pihaknya sedang melengkapkan siasatan termasuk mendapatkan keterangan saksi serta bukti berkaitan.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menjejaskan siasatan.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP La Paula Abd Muis di talian 013-5149490 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Katanya, siasatan diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
