Rakyat perlu patuh PKP meskipun mulai berpuasa Jumaat ini

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Mengambil iktibar daripada kluster Pengerang dan sub kluster Rembau, rakyat diminta kekal patut kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meskipun umat Islam dijangka mula menjalani ibadah puasa Jumaat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, aktiviti kunjung mengunjung dan merentasi negeri, daerah dan mukim atau perhimpunan perlu dielakkan.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khuatir aktiviti seperti ini yang sememangnya telah menjadi kelaziman rakyat akan mengakibatkan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan ahli keluarga terutama kepada golongan warga emas dan kanak-kanak," katanya pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, umat Islam diseru menggunakan peluang Ramadan yang bakal menjelma untuk menjalankan aktiviti dan amalan keagamaan seperti persediaan juadah berbuka puasa dan solat berjemaah dengan keluarga di rumah masing-masing.

"Selain daripada meraikan bulan Ramadan bersama keluarga tersayang di rumah, langkah ini dapat membantu kita menjaga dan melindungi ahli keluarga yang dikasihi terutamanya ibu bapa yang tua dan anak-anak kecil daripada dijangkiti penyakit Covid-19.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan jarak sosial selamat sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain dan penjagaan kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air serta sabun," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: KKM kesan Kluster Pengerang, 15 individu disahkan positif

Terdahulu, Dr Noor Hisham hari ini mendedahkan kluster Pengerang melibatkan kes indeks ke 1,508 yang telah merentasi beberapa buah negeri untuk menziarahi sanak saudara di Selangor biarpun bergejala sehari sebelumnya.

Akibatnya, ia telah menjangkiti 15 individu termasuk ibunya yang berusia 79 tahun dan anak perempuannya berusia 10 tahun.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dua minggu lalu KKM mengesan sub kluster Rembau yang telah menjangkiti 27 orang dan dua daripada mereka dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi (ICU).