Padah keluar rumah waktu malam

Kedua-dua lelaki ini dijatuhi hukuman empat hari penjara dan didenda RM1,000 selepas mengaku salah keluar rumah pada waktu malam di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Kedua-dua lelaki ini dijatuhi hukuman empat hari penjara dan didenda RM1,000 selepas mengaku salah keluar rumah pada waktu malam di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua lelaki dijatuhi hukuman empat hari penjara dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) keluar rumah pada waktu malam dalam kejadian berasingan semalam.

Tertuduh, Muhammad Ashraf Mat Ali,30, mengaku salah ingkar PKP kerana hendak menghantar wang ke rumah kawannya untuk 'bayaran' judi dalam talian.

Tertuduh mengaku bergerak dari satu tempat lain iaitu di tepi jalan Masjid Raja Chendering di sini kira-kira jam 10.40 malam.

Sementara itu, tertuduh Mohd Fakruk Mukhri Che Anang,36, pula mengaku keluar rumah dengan bergerak ke tepi jalan Banggol Binjai di sini jam 9.30 malam.

Dia yang bekerja sebagai juruelektrik memberi alasan hendak menghantar duit yang dipinjam kepada peminjam kerana didesak menyerahkannya dalam kadar segera.

Dengan itu, kedua-dua tertuduh mengaku salah atas pertuduhan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

Jika disabitkan kesalahan, mereka berdepan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Datuk Fariz Irwan Mustafa dan Mohd Asaari Salleh.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Ka Full memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana menganggap alasan diberi kedua-dua tertuduh tidak munasabah.

"Kedua-dua tertuduh sebenarnya boleh menghantar wang pada waktu yang dibenarkan memandangkan hari ini kita berada dalam tempoh PKP fasa ketiga.

"Kenapa perlu memilih untuk menghantar wang pada waktu malam sedangkan semua orang sudah tahu mereka tidak boleh keluar rumah selepas jam 8 malam," katanya.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula pada tarikh mereka ditangkap iaitu pada 21 April dan sekiranya gagal menjelaskan denda, mereka diarah menjalani hukuman penjara sebulan lagi.