SPRM terima 286 maklumat, 22 aduan rasuah sejak PKP

SPRM
SPRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima sebanyak 286 maklumat dan 22 aduan berhubung kes rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bermula 18 Mac 2020 hingga 21 April lalu.

SRPM dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah tersebut, SPRM telah menahan tiga individu dalam dua kes berbeza berhubung perbuatan merasuah penguat kuasa yang bertugas di barisan hadapan.

“Dalam kes pertama, dua warga Pakistan telah ditahan di Kota Kinabalu, Sabah kerana cuba menyogok pihak berkuasa sebanyak RM7,000 bagi mengelak dikenakan tindakan kerana suspek dipercayai menyeludup rokok ketika melalui sekatan jalan raya.

“Kes kedua pula, seorang peniaga ditahan kerana dipercayai telah merasuah pegawai penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak RM500 di Kluang, Johor sebagai dorongan mengelak dikenakan tindakan atas kesalahan membuka premis perniagaan tanpa kebenaran,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, Kedua-dua kes terbaharu itu menunjukkan aktiviti haram seperti penyeludupan terus berlaku selain terdapat premis perniagaan yang dibuka tanpa kebenaran walaupun dalam tempoh PKP berkuatkuasa.

“Perbuatan yang menyalahi undang-undang seperti ini secara tidak langsung turut mendorong kepada perbuatan rasuah. Dalam hal ini, SPRM merakamkan syabas dan tahniah kepada pihak berkuasa di barisan hadapan kerana ketegasan yang ditunjukkan terhadap penjenayah dan perasuah,” katanya.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa SPRM akan terus menjalankan siasatan walaupun dalam keadaan terbatas dengan berpandukan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) PKP yang telah ditetapkan.

“Demi kepentingan pihak terlibat, pejabat-pejabat SPRM di seluruh negara tetap dibuka dan terdapat pegawai ditugaskan secara bergilir-gilir dengan bilangan minima bagi mengambil tindakan terhadap maklumat yang diterima,” katanya.

Artikel Berkaitan: