AS terima padah jika campur tangan konflik Yemen - Houthi

Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid terus menjadi sasaran sejak minggu lalu.
Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid terus menjadi sasaran sejak minggu lalu.
A
A
A

SANAA - Kumpulan Houthi memberi amaran akan melancarkan 'tindak balas agresif' terhadap Amerika Syarikat (AS) sekiranya Washington campur tangan dalam perang di Yemen ketika Arab Saudi dilaporkan meminta bantuan negara itu bagi menangani serangan berulang kumpulan berkenaan.

Anggota biro politik Houthi, Mohammed Al Bukhaiti berkata, AS akan berdepan respons segera sekiranya menyertai kempen pencerobohan terhadap Yemen.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap AS dan ke atas kesemua kepentingan mereka di rantau ini,” tegasnya.

Beliau turut menggesa semua kakitangan dan pekerja di kemudahan minyak serta lapangan terbang Riyadh supaya menjauhi lokasi berkenaan kerana mendakwa kawasan tersebut sudah menjadi sasaran utama.

Letupan kembali kedengaran di Riyadh pada malam Isnin setelah gabungan tentera diketuai Saudi mendakwa berjaya memintas peluru berpandu Houthi yang kembali menyasarkan lapangan terbang di ibu kota tersebut.

Selain itu, dua misil balistik yang dilancarkan ke arah selatan Saudi turut berjaya dipintas berhampiran sempadan Sanaa.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa melanjutkan penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid sehingga Sabtu ini manakala beberapa syarikat penerbangan membatalkan penerbangan susulan serangan berterusan kumpulan proksi Iran terebut.

Perkhidmatan di lapangan terbang kedua paling sibuk selepas Jeddah itu digantung sementara bagi membolehkan langkah keselamatan dilaksanakan dan memastikan kemudahan lapangan terbang itu bersedia untuk beroperasi semula.

Lapangan terbang itu yang turut menjadi hab transit bagi jemaah umrah ditutup sejak serangan pada 10 Oktober lalu yang mengorbankan 13 orang dan mencederakan lebih 300 yang lain, sekali gus menjadikannya serangan paling dahsyat di Saudi dalam tempoh lebih sedekad.

Artikel Berkaitan:

Susulan ketegangan yang semakin meningkat, Teheran menawarkan diri sebagai orang tengah bagi mengadakan rundingan antara Riyadh dan kumpulan Houthi di Yemen setelah ia memberi amaran bahawa konflik yang bertindih di rantau berkenaan tidak dapat diselesaikan melalui pendekatan ketenteraan.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dilaporkan mengemukakan tawaran itu kepada rakan sejawatannya di Saudi, Faisal Farhan menerusi panggilan telefon, baru-baru ini. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!