Tandas BMW-i pertama di Malaysia diperkenal di Putrajaya

Nga Kor Ming ketika melancarkan tandas BMW-i di Dataran Putra, Putrajaya.
Nga Kor Ming ketika melancarkan tandas BMW-i di Dataran Putra, Putrajaya.
A
A
A

SHAH ALAM – Tandas Bersih, Menawan dan Wangi Pintar (BMW-i) pertama di Malaysia yang dilengkapi pelbagai teknologi pintar diperkenalkan di Dataran Putra, Putrajaya bagi meningkatkan tahap kebersihan, keselesaan serta kecekapan penyelenggaraan kemudahan awam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pengenalan kemudahan berkenaan meneruskan usaha kementeriannya dalam mentransformasikan tandas awam menerusi penggunaan teknologi pintar.

“Melalui BMW-i pula, kita mahu menyediakan kemudahan yang bukan sahaja bersih, menawan dan wangi, malah lebih pintar dan selesa untuk orang awam.

“Penggunaan teknologi pintar membolehkan tahap kebersihan dan penyelenggaraan dipantau secara lebih cekap, sistematik dan berterusan demi kesejahteraan rakyat serta meningkatkan imej negara,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Kemudahan tersebut dilengkapi sistem flush automatik, pili air dan dispenser sabun tanpa sentuhan selain sistem pewangi pintar berasaskan Internet Benda (IoT).

Ia turut mempunyai indikator penggunaan kubikel serta sensor persekitaran bagi memantau pencahayaan, kualiti udara, paras ammonia, suhu dan kelembapan.

Selain itu, tandas berkenaan dilengkapi sistem pengiraan pengguna, pengesan asap, sistem pengering dan pembersihan lantai automatik serta panel maklum balas pengguna.

Aplikasi mudah alih bagi menjejak kerja pembersihan dan dashboard pemantauan turut disediakan bagi meningkatkan kecekapan operasi serta penyelenggaraan kemudahan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 11,835 tandas di seluruh negara dinaik taraf mengikut standard Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) sejak 2023 menerusi kerjasama KPKT, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Artikel Berkaitan:

Jumlah berkenaan merangkumi 1,592 tandas awam serta kemudahan tandas di 10,243 sekolah di seluruh negara.

Menurutnya, daripada 3,940 tandas awam dalam kawasan pentadbiran dan operasi PBT, sebanyak 3,182 mencapai penarafan empat bintang dan ke atas.

Pada masa sama, KPKT akan menganjurkan Majlis Anugerah Tandas Terbaik (TOTYA) pada 20 Oktober ini bagi mengiktiraf pihak yang menunjukkan pencapaian dalam meningkatkan kebersihan dan kualiti tandas awam.

Sebanyak lapan kategori dipertandingkan iaitu kompleks beli-belah, stesen minyak, hotel, kawasan rehat dan rawat (R&R), restoran, sekolah, rumah ibadat serta PBT.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!