Pasar Siti Khadijah diperkasa dengan kemudahan moden

KOTA BHARU – Pasar ikonik, Pasar Siti Khadijah di sini terus dilaksana penambahbaikan bagi memberi kemudahan peniaga dan mengurus sisa organik untuk kelestarian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim berkata, kerajaan menyalurkan peruntukan berjumlah RM7 juta bagi kerja naik taraf pasar itu termasuk RM1.5 juta melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Terbaru kami dalam menyelesaikan kerja-kerja tambahan bagi keselesaan peniaga.
“Antaranya menggantikan meja-meja yang dah usang dan menaik taraf pasar dengan memberikan bantuan mesin pemotong daging,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Pesta Tanglung dan sambutan Hari Malaysia bertemakan Cahaya Tanglung, Semangat Malaysia di Kota Lama di sini pada Rabu.

Menurut Hafidzah, usaha turut dilaksanakan untuk mengubah sisa organik pasar berkenaan kepada baja sebagai langkah ke arah kelestarian dan kemampanan.
Katanya, kemudahan tandas awam juga dinaik taraf, manakala kerja naik taraf fizikal bangunan pasar berkenaan sudah selesai.
“Paling penting adalah usaha untuk mengubah sikap, masing-masing kena jaga kebersihan,” katanya.
Hafidzah berkata, cadangan pembangunan menyeluruh pasar itu yang merangkumi kemudahan lif dan eskalator memerlukan peruntukan lebih besar.
Menurutnya, permohonan awal berjumlah RM15 juta pernah dikemukakan bagi tujuan berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Gabungan Persatuan Tionghoa Negeri Kelantan, Datuk Oie Poh Choon berkata, lebih 500 tanglung dinyalakan pada program Pesta Tanglung dan sambutan Hari Malaysia bertemakan ‘Cahaya Tanglung, Semangat Malaysia’ di Kota Lama, di sini.
Menurutnya, program berkenaan turut menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum bagi meraikan kepelbagaian dan semangat perpaduan.
Katanya, Pesta Tanglung yang lazimnya menjadi acara menyatukan keluarga masyarakat Cina turut membawa mesej kebersamaan apabila digabungkan dengan sambutan Hari Malaysia.
“Kita patut rasa bangga kerana di negara kita boleh duduk sekali dalam satu majlis.
“Jangan berkelahi, jangan pecah, sama-sama kita,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

