PBT Perak tingkat pemantauan keselamatan bangunan

Sandrea bercakap kepada pemberita pada Sabtu.
Sandrea bercakap kepada pemberita pada Sabtu.
A
A
A

GOPENG - Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak melaksanakan penilaian dan penyelenggaraan secara berkala terhadap bangunan serta fasiliti di bawah seliaan masing-masing bagi memastikan faktor keselamatan diperkukuh.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng berkata, langkah itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku seperti insiden jatuh bangunan yang berlaku di Pasar Besar Ipoh hingga mengorbankan seorang lelaki, Rabu lalu.

"Aspek keselamatan melibatkan fasiliti dan aset memang menjadi keutamaan kita di peringkat PBT. Kerja-kerja seperti penyelenggaraan dan penilaian dijalankan dari semasa ke semasa untuk pastikan keselamatan itu diutamakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Cuci Malaysia Peringkat Negeri Perak di Taman Permainan Bandar Pulai Jaya di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah, Mohamad Razif Ramli dan Pegawai Daerah Kinta, Zulhisham Ahmad Shukori.

Sandrea (tiga dari kiri) melepaskan peserta larian kutip sempena Program Cuci Malaysia Peringkat Negeri Perak di Taman Permainan Bandar Pulai Jaya, Simpang Pulai pada Sabtu.
Sandrea (tiga dari kiri) melepaskan peserta larian kutip sempena Program Cuci Malaysia Peringkat Negeri Perak di Taman Permainan Bandar Pulai Jaya, Simpang Pulai pada Sabtu.

Pada 23 September lalu, seorang lelaki berusia 29 tahun dilaporkan maut selepas dipercayai terjatuh dari bangunan Pasar Besar Ipoh di Jalan Laksamana.

Sandrea berkata, dalam kes itu, pihaknya sedang menunggu laporan penuh daripada pihak berkuasa sebelum tindakan sewajarnya termasuk menambah baik aspek keselamatan di lokasi terlibat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jika ia melibatkan kelemahan dari segi struktur atau faktor tertentu, pihaknya akan menilai penambahbaikan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan awam lebih terjamin

"Kes yang berlaku itu sedang disiasat polis sama ada melibatkan kemalangan atau faktor lain. Daripada laporan itu nanti, PBT boleh ambil tindakan sewajarnya," katanya.

Mengulas perkembangan Jambatan Victoria di Kuala Kangsar, Sandrea memaklumkan projek penambahbaikan kemudahan itu masih menunggu laporan menyeluruh serta kelulusan peruntukan.

Katanya, permohonan telah dikemukakan di peringkat kerajaan negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), termasuk cadangan pemasangan jaring keselamatan bagi meningkatkan tahap keselamatan pengunjung.

Terdahulu, lokasi pelancongan bersejarah itu ditutup sementara susulan kejadian kanak-kanak maut selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira lima meter, Ogos lalu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Program Cuci Malaysia Peringkat Negeri Perak yang memasuki tahun ketiga penganjuran itu terus mendapat sambutan apabila lebih 4,000 peserta disasarkan terlibat di seluruh negeri.

Katanya, program yang digerakkan di 15 PBT itu melibatkan pelbagai aktiviti termasuk gotong-royong, plogging (larian kutip), pameran serta pengumpulan barangan kitar semula.

"Paling penting kita mahu pupuk kesedaran dan jadikan kebersihan sebagai budaya bersama, bukan hanya tanggungjawab PBT tetapi seluruh masyarakat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!