Kerjasama SPRM, PNBMV perkukuh kerjasama perangi rasuah

Mohamad Zakkuan
Mohamad Zakkuan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Usaha semarak budaya integriti dan kesedaran pencegahan rasuah terus diperkukuh menerusi kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur dengan Permodalan Nasional Berhad Merdeka Ventures (PNBMV).

Kerjasama digerakkan menerusi program ‘Langkah Merdeka 118, Bersama Perangi Rasuah’ di Menara Merdeka 118 itu akan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman pada Rabu.

Ia diadakan bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun SPRM Ke-59 dengan pengisian utama ialah aktiviti Larian Menara (Tower Run) melibatkan pendakian sebanyak 2,845 anak tangga di Menara Merdeka 118, selain acara mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera SPRM di puncak menara ikonik ini.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib berkata, penganjuran program itu antara inisiatif SPRM Kuala Lumpur untuk memperluas jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak selain mendekati masyarakat melalui pendekatan yang lebih inklusif dan berimpak.

“Acara tersebut yang dijangka disertai seramai 50 peserta pelbagai peringkat umur melambangkan semangat patriotisme, perpaduan dan iltizam bersama dalam memerangi rasuah demi kepentingan negara.

"Pada masa yang sama, pameran reruai juga akan diadakan di Stadium Merdeka yang melibatkan pelbagai agensi dan rakan strategik, antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, penganjuran program ‘Langkah Merdeka 118, Bersama Perangi Rasuah’ diharap dapat terus memperkukuh sinergi antara SPRM, agensi kerajaan, sektor korporat dan masyarakat dalam menyemai nilai integriti.

Jelasnya, ini sekali gus memperkasakan kesedaran antirasuah serta membina Malaysia yang bebas rasuah.

Program bermula jam 9 pagi hingga 2 petang itu terbuka kepada orang ramai dan memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat secara langsung mengenai kepentingan integriti, pencegahan rasuah dan tanggungjawab bersama dalam membina masyarakat yang beretika

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian dimaklumkan, program tersebut turut melibatkan agensi lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Institut Integriti Malaysia (IIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

KKM turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan melalui reruai khas serta klinik pergigian bergerak bagi memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan pergigian sepanjang program berlangsung.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!