Perkukuh kerjasama NMIM, perluas kepentingan SIRIM

SEPANG – Karangkraf memperkukuh kerjasama dengan Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM) bagi meningkatkan pendedahan kepada rakyat mengenai kepentingan institusi itu.
Ketua Komunikasi Korporat dan Strategik Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, perbincangan bersama pihak pengurusan NMIM diadakan bagi meneroka ruang kolaborasi yang boleh dilaksanakan pada masa akan datang.

"Kunjungan korporat daripada pengurusan Karangkraf dan Sinar Harian ini memberi peluang kepada kami mengetahui dengan lebih lanjut proses, tatacara kerja serta perkhidmatan yang dilaksanakan di sini.
"Ia juga merupakan kunjung balas selepas pihak NMIM SIRIM menjemput kami untuk melihat dengan lebih dekat operasi dan usaha yang dilaksanakan mereka,” katanya selepas melawat NMIM di Bandar Baru Salak Tinggi di sini pada Selasa.

Menurut Nik Justin, kerjasama itu penting sebagai medium memastikan lebih banyak maklumat mengenai fungsi, kepentingan dan peranan NMIM SIRIM dapat disampaikan kepada masyarakat.
"Sesi perbincangan bersama Dr Faridah Hussain (Ketua Metrologi Malaysia) diadakan mengenai bagaimana kita boleh berkolaborasi memberikan lebih banyak maklumat kepada rakyat.

"Karangkraf khususnya Sinar Harian akan sentiasa bekerjasama dengan NMIM bagi memberikan lebih banyak pendedahan mengenai perkara hebat yang mereka lakukan di sini, yang mungkin masih belum diketahui oleh rakyat,” katanya.
Pada kunjungan itu, Karangkraf dibawa melawat Blok Kumpulan Kimia bagi melihat dengan lebih dekat proses pengujian dan analisis sampel yang diterima daripada pihak industri.

Lawatan turut memberi pendedahan mengenai pengujian penandaan bagi memastikan produk memenuhi keperluan piawaian ditetapkan termasuk penandaan ketulenan emas 916.
Selain itu, rombongan turut diperkenalkan kepada proses penentukuran peralatan yang digunakan pihak penguat kuasa bagi tujuan pengujian serta pengesahan prestasi peranti.
Kunjungan itu turut diberikan penerangan mengenai proses kalibrasi sistem kamera Sistem Kesedaran Keselamatan Automatik (AwAS) di negara ini.
NMIM akan memastikan bahawa mekanisme pengesanan kelajuan dan rakaman unit AwAS mematuhi piawaian pengukuran nasional dan antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
