[VIDEO] UMNO, Pas perlu fahami undang-undang, dokumen sudah dinyahklasifikasikan - Tony Pua
KUALA LUMPUR - Pihak-pihak yang kecoh berhubung dakwaan kebocoran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan, termasuk UMNO dan Pas, perlu memahami undang-undang kerana dokumen berkenaan sudah dinyahklasifikasikan.

Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berkata, beliau berpandangan tiada keperluan untuk siasatan dijalankan terhadap hantaran Facebook yang memaparkan beberapa muka surat minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, perkara itu juga sudah dijelaskan oleh Menteri di Parlimen yang mengesahkan dokumen berkenaan telah dinyahklasifikasikan.
"Saya memberikan kerjasama sepenuhnya. Pada pandangan saya, perkara ini sebenarnya tidak perlu disiasat kerana dokumen berkenaan sudah dinyahklasifikasikan.
"Menteri juga sudah menjawab perkara itu di Parlimen dan mengesahkan bahawa dokumen tersebut telah dinyahklasifikasikan. Jadi, apa lagi yang hendak disiasat?
"Bagaimanapun, pihak-pihak yang kecoh di luar sana, sama ada UMNO atau Pas, perlu memahami undang-undang, dokumen itu sudah dinyahklasifikasikan, jadi apa lagi yang perlu disiasat, apa salahnya?" katanya ketika ditemui selepas memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada Jumaat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bekas Ahli Parlimen Damansara itu hadir ke Bukit Aman di sini pada Jumaat bagi memberi keterangan berhubung dakwaan kebocoran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau yang juga bekas pemimpin DAP tiba kira-kira jam 9.53 pagi dengan ditemani peguam sebelum memasuki bangunan ibu pejabat polis berkenaan pada jam 10 pagi.
Dalam pada itu, Tony Pua berkata, keterangannya dirakam berhubung hantaran Facebook yang diterbitkan pada 18 November lalu, yang memaparkan beberapa muka surat minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berserta penjelasan mengenai kandungannya.
Katanya, antara perkara yang ditanya pegawai penyiasat ialah kandungan hantaran berkenaan, termasuk maksud gelaran 'king kleptocrat' yang digunakan dalam penulisannya.
"Saya menjelaskan bahawa saya hanya menterjemahkan kandungan minit mesyuarat tersebut ke dalam bahasa Inggeris.
"Apabila ditanya siapa yang saya maksudkan sebagai 'king kleptocrat', saya merujuk kepada Najib Razak kerana beliau merupakan seorang pesalah yang telah disabitkan dan menjalani hukuman penjara berhubung kes pengubahan wang haram, pecah amanah serta penyalahgunaan kuasa," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa dirinya bukan pihak yang menegur atau mengkritik mana-mana individu yang disebut dalam dokumen berkenaan, sebaliknya hanya menyatakan perkara yang terkandung dalam minit mesyuarat itu.
Mengulas lanjut, Tony Pua berkata, beliau tidak menafikan bahawa hantaran berkenaan ditulis dan diterbitkan sendiri menerusi akaun Facebook miliknya.
"Saya tidak menafikannya, bagaimanapun, sekiranya terdapat sebarang kesalahan, saya akan menjawabnya di mahkamah," katanya.
Ujarnya, sesi rakaman percakapan itu berlangsung kira-kira 45 minit dan berjalan secara profesional.
Ditanya mengenai peruntukan undang-undang yang digunakan dalam siasatan itu, beliau memaklumkan ia membabitkan Seksyen 203A dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

