Jerebu rentas sempadan: ISWAMI Malaysia gesa tindakan segera, menyeluruh

SHAH ALAM - Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia–Indonesia (ISWAMI Malaysia) menggesa tindakan segera dan menyeluruh daripada pihak berkaitan bagi menangani ancaman jerebu rentas sempadan.
Ia susulan kebakaran hutan dan tanah di beberapa kawasan di Indonesia yang menjejaskan kualiti udara di Malaysia.
Pemangku Presidennya, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata, tindakan berkenaan termasuk memperkukuh pencegahan dan penguatkuasaan di Indonesia dengan mempergiat pemadaman kebakaran, mencegah pembakaran terbuka dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melanggar undang-undang.
"Jerebu bukan sekadar isu alam sekitar, malah melibatkan kesihatan awam, kesejahteraan rakyat dan tanggungjawab bersama negara serantau.
"Isu berulang ini memerlukan penyelesaian menyeluruh, bukan sekadar tindakan kecemasan ketika keadaan bertambah buruk," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, ISWAMI Malaysia menggariskan lima keutamaan antaranya melindungi kesihatan rakyat melalui pemantauan kualiti udara, penyampaian maklumat dan nasihat kesihatan yang tepat serta langkah perlindungan, khususnya bagi golongan berisiko.
Menurutnya, orang ramai juga disaran merujuk bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan nasihat pihak berkuasa.
"Selain itu, meningkatkan kerjasama Malaysia-Indonesia melalui perkongsian data titik panas, pemantauan pergerakan asap, pertukaran maklumat, bantuan teknikal dan operasi pemadaman kebakaran apabila diperlukan.
"Kami juga menggesa agar komitmen ASEAN diperkukuh dalam pencegahan, kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasan bagi merealisasikan rantau bebas jerebu.
"Dalam masa sama menggalakkan pelaporan media yang tepat, berimbang dan bertanggungjawab," katanya
Menurutnya, media perlu mengutamakan fakta, pandangan pakar dan suara masyarakat terjejas serta mengelakkan naratif yang menyalahkan keseluruhan rakyat sesebuah negara.
ISWAMI Malaysia menegaskan bahawa hubungan erat Malaysia-Indonesia harus menjadi asas untuk membincangkan isu ini secara terbuka dan matang, tanpa mengetepikan kepentingan rakyat.
"Kedua-dua negara berhak menikmati udara bersih dan persekitaran selamat. Oleh itu, jerebu rentas sempadan tidak boleh terus dianggap sebagai masalah bermusim tanpa penyelesaian jangka panjang yang berkesan dan boleh diukur.
"Kami percaya bahawa kerjasama yang ikhlas, akauntabiliti yang jelas dan tindakan yang berkesan mampu memastikan ancaman jerebu tidak terus berulang hingga menjejaskan kehidupan rakyat dan kelestarian alam sekitar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
