Jerebu: Keputusan tutup sekolah bergantung SOP, nasihat MetMalaysia, KKM - Fadhlina

PUTRAJAYA - Keputusan berhubung penutupan dan pembukaan sekolah susulan keadaan jerebu akan dibuat dari semasa ke semasa berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan sedia ada dan nasihat agensi berkaitan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, ia bergantung kepada nasihat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) tidak membuat keputusan berkenaan secara bersendirian, sebaliknya mengambil kira penilaian kualiti udara, nasihat kesihatan dan pertimbangan bersama jawatankuasa berkaitan.
"Kita sudah tetapkan bahawa kita bertindak berdasarkan SOP, garis panduan yang sedia ada dan nasihat daripada MetMalaysia berdasarkan ketentuan dari semasa ke semasa dan juga KKM.
"Kita ada jawatankuasa dan panduan itu kita ambil sepenuhnya daripada KKM dan NRES," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Petah KPM 2026 di sini pada Isnin.
Fadhlina berkata, keadaan jerebu ketika ini dipantau berdasarkan panduan yang ditetapkan, namun aspek kesihatan murid perlu terus diberikan perhatian oleh ibu bapa.
Beliau berkata, ibu bapa dinasihatkan supaya tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya mereka tidak sihat, sebaliknya memaklumkan keadaan itu kepada pihak sekolah.
"Sebab itu dalam pedoman yang kita berikan kepada ibu bapa, sekiranya anak-anak tidak sihat tidak perlu dihantar ke sekolah dan maklumkan kepada sekolah,” katanya.
Beliau turut menghargai kerjasama ibu bapa yang memberikan perhatian terhadap isu kesihatan serta berkongsi pandangan dengan KPM bagi membantu kementerian membuat pertimbangan berkaitan pengurusan persekolahan ketika jerebu.
Fadhlina berkata, sebarang keputusan perlu mengambil kira keseimbangan antara perlindungan kesihatan murid dengan kesan terhadap pendidikan sekiranya sekolah ditutup untuk tempoh yang terlalu lama.
Mengulas kemungkinan jerebu berlarutan hingga November atau Disember, Fadhlina berkata, keputusan akan terus dibuat secara bersama berdasarkan panduan dan nasihat agensi berkaitan.
Dalam pada itu, Petah KPM merupakan platform strategik bagi Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) secara holistik, yang menekankan kecekapan penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris perlu seiring bagi memupuk budaya komunikasi yang fasih dan beradab merentas pelbagai kaum. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
