Kes pelajar maut: PIKM gesa audit keselamatan sekolah diperkukuh

SHAH ALAM - Penilaian risiko dan audit keselamatan sekolah perlu diperkukuh secara berkala susulan kematian seorang pelajar di sebuah institusi pendidikan di Yong Peng, Johor baru-baru ini.
Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), Datuk Mohammad Ubaidillah Enam @ Iman berkata, penilaian itu perlu merangkumi kawalan akses, kesesuaian bilangan dan penempatan pengawal keselamatan, rekod rondaan serta liputan kamera litar tertutup (CCTV).
"Keadaan pagar, pencahayaan dan persekitaran sekolah juga perlu diperiksa, selain keberkesanan komunikasi serta prosedur tindak balas kecemasan.
"Langkah itu penting bagi memperkukuh pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berdasarkan penilaian risiko dan audit keselamatan berkala," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Selain itu, Ubaidillah berkata, keselamatan sekolah memerlukan penyelarasan berkesan antara pengurusan sekolah, guru, warga sekolah dan penyedia perkhidmatan kawalan keselamatan.
Mengulas lanjut, ujarnya, pengawal keselamatan berperanan dalam kawalan akses, rondaan, pengesanan risiko dan pelaporan insiden mengikut skop penugasan yang ditetapkan.
Katanya, syarikat kawalan keselamatan pula perlu bertanggungjawab memastikan pengawal memahami penugasan, menerima latihan yang bersesuaian dan diselia dalam pelaksanaan tugas.
"Skop tugas, arahan tetap dan penempatan pengawal perlu jelas serta bersesuaian dengan risiko setiap sekolah selain melaksanakan penyelarasan bersama pihak sekolah agar laporan keselamatan dapat disusuli dengan tindakan yang sewajarnya.
"Sebarang penambahbaikan atau peluasan penugasan hendaklah disertai latihan, tenaga kerja, peralatan dan peruntukan yang bersesuaian supaya dapat dilaksanakan dengan berkesan.
"PIKM bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkaitan melalui perkongsian kepakaran industri dan cadangan penambahbaikan prosedur, selaras dengan bidang tanggungjawab masing-masing," katanya.
Pada 3 Oktober, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dewan sebuah sekolah di Yong Peng pada kira-kira jam 5.30 petang sebelum disahkan meninggal dunia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, mendedahkan kecederaan trauma akibat objek tumpul di bahagian kepala disahkan sebagai punca kematian tragis Irene Sofiya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
