Pemimpin PH Melaka saman kerajaan negeri berhubung pelantikan tujuh ADUN

Poay Tiong pada sidang akhbar selepas serahan notis saman di Seri Negeri pada Isnin.
Poay Tiong pada sidang akhbar selepas serahan notis saman di Seri Negeri pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Pemimpin Pakatan Harapan (PH) Melaka mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri bagi mencabar pindaan Perlembagaan Negeri Melaka yang membenarkan pelantikan maksimum tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.

Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, saman pemula itu difailkan pada 8 Oktober lalu dengan beliau dan Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari dinamakan sebagai plaintif.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka berkata, tindakan itu diambil bagi memohon Mahkamah Tinggi Melaka menentukan kesahihan pindaan yang diluluskan pada 14 Julai lalu dan diwartakan pada 27 Ogos 2026.

“Plaintif berpandangan Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 bercanggah dengan struktur asas Perlembagaan Negeri Melaka dan Perlembagaan Persekutuan.

"Kita berharap mahkamah akan membuat keputusan bahawa usul yang diluluskan pada 14 Julai lalu itu tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan Perkara 71(4) Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama Seksyen 4, Bahagian I, Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh itu, kita berpendapat pindaan berkenaan batal dan tidak sah menurut Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan," katanya selepas menyerahkan notis saman kepada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Undang-Undang Negeri di Seri Negeri di sini pada Isnin.

Katanya, memfailkan tindakan itu atas kapasiti sebagai pengundi di Melaka, manakala Adly bertindak sebagai plaintif atas kapasiti sebagai ADUN ketika itu.

Menjawab persoalan mengapa tindakan berkenaan hanya diambil sekarang, Poay Tiong menjelaskan pihaknya sudah memutuskan untuk mencabar pindaan itu di mahkamah sejurus ia diluluskan pada Julai lalu.

Bagaimanapun, katanya, mereka menunggu sehingga pindaan berkenaan diwartakan dan dipaparkan di laman web rasmi sebelum memulakan proses mahkamah.

Artikel Berkaitan:

"Kita memang sudah membuat keputusan untuk membawa kes ini ke mahkamah dan meminta mahkamah menentukan sama ada pindaan ini bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau tidak.

"Bukan kerana pilihan raya semakin hampir baru kita mengambil tindakan ini, sebaliknya ia hanya kebetulan kerana pindaan itu lambat dipaparkan di laman web rasmi," katanya.

Tambahnya, pindaan berkenaan menimbulkan persoalan dari sudut demokrasi kerana membolehkan sehingga tujuh ADUN dilantik tanpa melalui proses pengundian rakyat.

Ujarnya, pelantikan itu juga memberi kuasa kepada Ketua Menteri untuk menentukan individu yang dilantik, selain boleh melucutkan kelayakan ADUN lantikan berkenaan.

Beliau berkata, PH sebelum ini mengambil keputusan menarik diri daripada kerajaan negeri selepas pindaan itu diluluskan, namun pihaknya meneruskan usaha melalui saluran undang-undang bagi mencabar keputusan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!