Langit bertukar jingga, jerebu Kalimantan semakin parah

PALANGKA RAYA - Keadaan jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah di Palangka Raya, Kalimantan Tengah, Indonesia semakin membimbangkan apabila asap tebal menyelubungi bandar itu sehingga menyebabkan langit bertukar warna jingga pekat.
Situasi tersebut turut menyebabkan jarak penglihatan dilaporkan merosot kepada kurang 200 meter, sekali gus mengganggu aktiviti harian penduduk yang terpaksa berdepan pencemaran udara berbahaya.
Seorang penduduk yang juga pendidik tempatan, Natanael Undas berkata, bacaan zarah halus PM2.5 di kawasan berkenaan pernah melonjak sehingga mencecah angka 1,800.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan kebimbangan serius terhadap kesihatan penduduk, khususnya mereka yang masih perlu keluar bekerja dan menjalankan urusan harian.
Ketika berkongsi pengalamannya, Natanael turut meluahkan kebimbangan terhadap masa depan pendidikan kanak-kanak yang terjejas akibat jerebu berpanjangan.
Keadaan tersebut memaksa pihak berkuasa melaksanakan pembelajaran jarak jauh (PJJ) sejak akhir Ogos lalu bagi mengurangkan risiko pendedahan murid kepada pencemaran udara.
Malah, Jabatan Pendidikan Kota Palangka Raya dilaporkan telah beberapa kali melanjutkan pelaksanaan PJJ selepas pemantauan mendapati kualiti udara masih berada pada tahap berbahaya.
Langkah itu membabitkan murid pendidikan awal kanak-kanak, sekolah rendah dan sekolah menengah pertama, dengan pembelajaran secara bersemuka ditangguhkan sehingga keadaan udara kembali selamat.
Menurut laporan media Indonesia, pelaksanaan PJJ sekali lagi dilanjutkan dari 8 hingga 10 Oktober selepas bacaan Indeks Standard Pencemaran Udara (ISPU) kekal pada tahap membahayakan kesihatan.
Jerebu berpanjangan bukan sahaja menjejaskan pergerakan penduduk, malah mengganggu proses pembelajaran dan meningkatkan risiko masalah pernafasan dalam kalangan masyarakat setempat. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

