Tiada bukti China arah Alice Huang intip CEO Nvidia

WASHINGTON - Pegawai perisikan Amerika Syarikat (AS) dilaporkan tidak menemui bukti China mengarahkan ahli perniagaan, Alice Huang untuk mengintip Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia, Jensen Huang meskipun wanita itu mempunyai hubungan dengan agensi risikan Beijing.
Laporan The Wall Street Journal (WSJ) pada Rabu yang memetik kenyataan sumber rapat menyatakan pihak berkuasa tidak menemui petunjuk bahawa hubungan sulit antara Alice dan Jensen merupakan sebahagian daripada operasi pengintipan yang dirancang Beijing.
Bagaimanapun, pegawai perisikan memaklumkan bahawa Alice pernah dihubungi Kementerian Keselamatan Negara China (MSS) untuk mendapatkan maklumat.
Menurut laporan berkenaan, tiada petunjuk jelas Alice menyerahkan maklumat perisikan penting kepada Beijing.
Selain itu, maklumat risikan sedia ada dinilai Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) tidak menunjukkan Alice merupakan pegawai atau ejen perisikan China manakala Agensi Perisikan Pusat (CIA) mengambil pendekatan lebih berhati-hati dengan menyatakan tiada bukti kukuh bahawa wanita itu memiliki atau menyerahkan maklumat sensitif keselamatan negara kepada Beijing.
Perbezaan penilaian itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan pegawai keselamatan AS mengenai sejauh mana hubungan Alice dengan agensi perisikan China.
Alice yang juga dikenali sebagai Huang Le pernah memegang jawatan kanan di Megaspeed International, sebuah syarikat teknologi berpusat di Singapura yang mempunyai hubungan perniagaan dengan Nvidia.
Sebelum ini, firma itu disiasat berhubung dakwaan membantu menyalurkan cip kecerdasan buatan (AI) Nvidia ke China bagi mengelak sekatan eksport AS.
Bagaimanapun, siasatan berhubung kemungkinan pengalihan cip tersebut masih berjalan dan belum membuktikan Alice atau syarikat itu melakukan kesalahan.
Dalam perkembangan berkaitan, pelantikan semula Huang sebagai CEO Nvidia turut menarik perhatian anggota Kongres AS yang mempersoalkan tahap penelitian kerajaan sebelum memberikan jaminan bahawa beliau tidak menimbulkan risiko terhadap keselamatan negara. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

