Dua calon Wakil Presiden Indonesia jalani pemeriksaan kesihatan

Andi Amran Sulaiman (tiga dari kiri) dan Sugiano saling berjabat tangan ketika hadir di Hospital Pusat Angkatan Darat (RSPAD) Gatot Subroto, Jakarta pada Khamis. - Foto Agensi
Andi Amran Sulaiman (tiga dari kiri) dan Sugiano saling berjabat tangan ketika hadir di Hospital Pusat Angkatan Darat (RSPAD) Gatot Subroto, Jakarta pada Khamis. - Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - Dua calon Wakil Presiden (Wapres) Indonesia, Sugiono dan Andi Amran Sulaiman menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Pusat Angkatan Darat (RSPAD) Gatot Subroto, Jakarta pada Khamis sebagai sebahagian daripada proses pengesahan pencalonan mereka.

Pemeriksaan itu dipantau oleh Pasukan Pengesahan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) Indonesia yang diketuai Habiburokhman.

Menurut Habiburokhman, kehadiran pasukannya bertujuan menyaksikan sendiri keseluruhan proses pemeriksaan bagi memastikan semua prosedur dilaksanakan mengikut ketetapan.

Beliau menjelaskan, pendekatan kali ini berbeza berbanding pemeriksaan calon ketika Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024 apabila pasukan pengesahan perlu mengikuti setiap peringkat pemeriksaan kesihatan.

Pemeriksaan kesihatan itu merupakan antara syarat yang perlu dipenuhi kedua-dua calon bagi melayakkan mereka meneruskan proses pemilihan Naib Presiden melalui MPR.

Selain aspek kesihatan fizikal dan mental, Pasukan Pengesahan MPR turut menjalankan semakan terhadap dokumen pentadbiran dan latar belakang kedua-dua calon.

Antara perkara yang diteliti termasuk kesahihan kelayakan akademik, rekod undang-undang, maklumat kependudukan dan pengisytiharan harta.

Kedua-dua calon itu turut disahkan tidak mempunyai rekod jenayah atau terlibat dengan pertubuhan terlarang selepas Polis Nasional Indonesia (Polri) mengeluarkan Surat Keterangan Catatan Kepolisian (SKCK) pada awal minggu lalu.

Ketua Polri, Jeneral Suyudi Ario Seto berkata, hasil semakan mendapati Andi Amran Sulaiman dan Sugiono tidak mempunyai sebarang rekod atau penglibatan dalam kegiatan jenayah atau sebarang kaitan dengan Parti Komunis Indonesia (PKI) yang diharamkan susulan peristiwa Gerakan 30 September 1965. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!