Sambut baik tumpuan Belanjawan 2027, mahu setiap ringgit beri impak kepada rakyat - PPG70

SHAH ALAM - Pertubuhan Profesor G70 (PPG70) mahu setiap ringgit diperuntukkan menerusi Belanjawan 2027 menghasilkan perubahan yang dapat diukur dan dipertanggungjawabkan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.
Pengerusinya, Prof Emeritus Datuk Dr Wan Ramli Wan Daud berkata, semua pihak perlu berganding bahu untuk menjayakan Belanjawan 2027 dengan meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan bersama.
"Aspirasi belanjawan ini mencerminkan harapan setiap keluarga untuk menikmati pendapatan mencukupi, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan berkualiti, selain pengurusan kewangan negara berhemat dan mampan.
“Atas dasar itu, PPG70 bersedia menyumbangkan kepakaran dan pengalaman ahli-ahli kami bagi memastikan setiap ringgit yang diperuntukkan menghasilkan perubahan yang dapat diukur serta dipertanggungjawabkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Wan Ramli berkata, belanjawan negara merupakan dokumen amanah yang menentukan bagaimana wang rakyat dikutip, diperuntukkan dan dibelanjakan demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.
"Perbahasan berteraskan fakta dan analisis membina akan lebih membantu rakyat memahami keutamaan belanjawan," ujarnya lagi.
Beliau menambah, dari sudut pengurusan kewangan, usaha menyeimbangkan keperluan rakyat dengan disiplin fiskal wajar diiktiraf dan diberikan perhatian.
"Jumlah perbelanjaan dan pelaburan awam yang diumumkan ialah RM510 bilion.
"Belanjawan ini mencerminkan usaha untuk mengimbangi keperluan bagi menambah bantuan kepada rakyat dan keperluan mengurus kedudukan fiskal negara secara berhemat," kongsinya.
Justeru, Wan Ramli memaklumkan, PPG70 menyambut baik tumpuan Belanjawan 2027 terhadap usaha menangani kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Kata beliau, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dinaikkan kepada RM16 bilion, manakala gaji minimum dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027.
"Pelepasan cukai individu turut ditingkatkan daripada RM9,000 kepada RM12,000, had perlindungan tarif elektrik dinaikkan daripada 600 kepada 800 kilowatt jam sebulan, manakala pencen minimum ditingkatkan daripada RM1,000 kepada RM1,350 sebulan," menurutnya.
Beliau memberitahu, langkah berkenaan berpotensi memberikan kesan lebih berterusan dalam meringankan beban kewangan isi rumah berbanding bantuan yang diberikan sekali sahaja.
Tambahnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diperuntukkan hampir RM69 bilion dengan peruntukan baik pulih sekolah turut digandakan daripada RM1 bilion kepada RM2 bilion, manakala Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan kepada RM200 bagi 5.3 juta murid.
Wan Ramli memaklumkan, PPG70 melihat pelaburan dalam pendidikan penting kepada pembentukan modal insan, peningkatan mobiliti sosial dan pengukuhan daya saing negara.
Beliau berkata, PPG70 turut menyambut baik pelbagai inisiatif belanjawan lain termasuklah pembangunan modal insan, kesihatan, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sektor pertanian, serta Sabah dan Sarawak.
Katanya, PPG70 menyokong aspirasi Belanjawan 2027 untuk menaikkan taraf hidup rakyat dan ekonomi negara serta berharap pelaksanaan dasar yang diumumkan dapat diterjemahkan kepada manfaat yang dirasai rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

