Belanjawan MADANI 2027 jamin keselesaan hidup, keadilan sosial untuk semua - PM

Anwar ketika berucap pada Program Khas Belanjawan MADANI 2027 di Kompleks Seri Perdana hari ini. - Foto: Bernama
Anwar ketika berucap pada Program Khas Belanjawan MADANI 2027 di Kompleks Seri Perdana hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Belanjawan MADANI 2027 dirangka bagi menjamin keselesaan hidup dan keadilan sosial untuk semua lapisan rakyat menerusi pendekatan pembangunan yang mengambil kira keperluan setiap kelompok, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan tidak hanya memberi tumpuan kepada angka besar dan sektor strategik sebaliknya turut meneliti keperluan harian rakyat termasuk pemilik haiwan peliharaan, Orang Kurang Upaya (OKU), pekerja gig serta penghantar makanan dan barangan.

"Dalam apa pun perancangan, akhirnya adalah (bagi) menjamin keselesaan hidup rakyat... kita mahu satu sistem yang dapat menjamin keadaan yang selesa dan adil buat semua,” katanya dalam Wawancara Khas Belanjawan MADANI 2027, yang disiarkan di RTM hari ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, Belanjawan 2027 bukanlah jawapan untuk menyelesaikan semua masalah tetapi langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan beban ditanggung rakyat.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memahami masalah rakyat di luar bandar termasuk pesawah dan nelayan yang masih berdepan kekangan pendapatan serta akses kepada kemudahan tertentu.

"Di bandar, kita tidak ada sawah padi tetapi kita tahu rakyat di kawasan sawah padi masih menghadapi masalah (dan) nelayan pantai pula ada yang tidak mempunyai lesen… untuk memberikan lesen, kita perlu melihat keadaan sumber ikan yang terbatas,” kata beliau.

Oleh itu, Anwar berkata, kerajaan perlu mencari penyelesaian yang seimbang supaya nelayan dapat diberikan sedikit ruang tambahan untuk meneruskan kehidupan tanpa menjejaskan kelestarian sumber perikanan.

Beliau juga berkata, semua usaha itu adalah sebahagian daripada agenda meningkatkan keselesaan hidup dan memperkukuh keadilan sosial, bukan hanya untuk satu kelompok tertentu tetapi untuk seluruh rakyat.

"Ini semua dalam masalah yang disebut keselesaan hidup dan keadilan sosial, dan bukan untuk satu kelompok, untuk semua… itulah yang kita cuba lakukan dengan sebaik mungkin, insya-ALLAH,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri berkata, Kerangka Ekonomi MADANI akan terus menggabungkan aspirasi pembangunan berimpak tinggi dengan keperluan asas rakyat selaras tema Belanjawan 2027, iaitu "Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”.

Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan kemajuan ekonomi negara tidak hanya diukur melalui pencapaian makro tetapi turut dirasai dalam kehidupan seharian rakyat.

Anwar berkata, kerajaan akan terus mendengar pandangan dan masalah rakyat bagi memastikan dasar serta peruntukan yang dirangka dalam Belanjawan MADANI 2027 benar-benar memenuhi keperluan semasa.

Beliau menegaskan bahawa setiap perincian dalam belanjawan perlu menyumbang kepada kehidupan yang lebih selesa, adil dan bermaruah untuk semua rakyat Malaysia.

Semalam, Perdana Menteri membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dengan peruntukan kerajaan berjumlah RM459.8 bilion, ditambah RM25 bilion pelaburan daripada GLIC; sebanyak RM11 bilion pelaburan awam-swasta serta RM14.2 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), menjadikan keseluruhan Belanjawan 2027 meneruskan dasar fiskal mengembang sebanyak RM510 bilion.

Belanjawan MADANI kelima itu bertujuan menterjemahkan pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan kepada manfaat nyata untuk rakyat melalui gaji lebih baik, sokongan bersasar lebih cekap, disiplin fiskal lebih kukuh dan langkah agresif ke arah industri bernilai lebih tinggi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!