Belanjawan 2027 perkukuh peranan BSN

PERUNTUKAN RM1.7 bilion yang diumumkan kerajaan bagi memenuhi keperluan pembiayaan pelbagai kumpulan sasar termasuk belia, pekerja gig, penjaja dan golongan rentan akan mengukuhkan lagi peranan Bank Simpanan Nasional (BSN) sebagai antara peneraju pembiayaan mikro negara.
Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid berkata, inisiatif itu mampu membantu lebih ramai usahawan mikro menceburi, mengekalkan dan mengembangkan perniagaan, sekali gus meningkatkan pendapatan serta daya tahan ekonomi komuniti setempat.
Menurut beliau, bagi BSN, kejayaan sesuatu inisiatif bukan sekadar diukur melalui jumlah pembiayaan yang disalurkan, tetapi sejauh mana bantuan tersebut dapat membantu usahawan mengembangkan perniagaan, meningkatkan pendapatan dan membina kedudukan kewangan yang lebih kukuh.
“Peruntukan RM1.7 bilion yang diumumkan bagi memenuhi keperluan pembiayaan pelbagai kumpulan sasar, termasuk belia, pekerja gig, penjaja dan golongan rentan, terus menyuntik momentum kepada usaha BSN untuk memperkukuh peranannya sebagai peneraju pembiayaan mikro negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas inisiatif yang diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2027 yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan usahawan mikro, pekerja gig dan golongan rentan serta usaha memperluas rangkuman kewangan.
Mujibburrahman turut menyambut baik peruntukan pembiayaan RM270 juta yang diperkenalkan bagi membantu pekerja gig mengembangkan aktiviti perniagaan serta merealisasikan hasrat untuk memiliki rumah pertama.
Katanya, langkah itu membuka lebih banyak peluang kepada golongan berkenaan untuk memperbaiki taraf hidup dan membina masa depan kewangan yang lebih terjamin.
“BSN akan terus menyediakan penyelesaian kewangan yang relevan dan bersesuaian dengan keperluan pekerja gig yang kini menjadi antara penyumbang penting kepada ekonomi negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, BSN akan terus memperluaskan rangkuman kewangan melalui rangkaian cawangannya, ejen bank serta saluran alternatif termasuk Cawangan Bank Bergerak bagi memastikan perkhidmatan kewangan dapat dinikmati masyarakat di luar bandar dan kawasan pedalaman.
Menurut BSN, rangkuman kewangan bukan hanya berkaitan penyediaan akses kepada perkhidmatan perbankan, malah memastikan akses tersebut memberi manfaat sebenar kepada kehidupan rakyat.
Bank itu percaya kerjasama berterusan antara kerajaan dan institusi kewangan penting bagi memastikan pelaksanaan Belanjawan 2027 dapat diterjemahkan kepada peluang ekonomi yang lebih luas, pertumbuhan perniagaan yang mampan dan peningkatan kesejahteraan rakyat.
Sehingga Ogos 2026, BSN mempunyai lebih 10.5 juta pelanggan di seluruh negara, menguruskan deposit runcit bernilai RM23.1 bilion serta mengendalikan 387 cawangan dan lebih 1,876 ejen bank.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
