Belanjawan 2027: Angka besar bukan ukuran, disiplin fiskal dan rakyat mesti seimbang - Ahmad Samsuri

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kejayaan Belanjawan 2027 bukan diukur pada besarnya angka yang diumumkan, sebaliknya terletak pada sejauh mana peruntukan tersebut mampu meningkatkan pendapatan, menyediakan pekerjaan berkualiti serta meringankan kos sara hidup rakyat.

​Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun Belanjawan 2027 yang berjumlah RM510 bilion memperlihatkan komitmen perbelanjaan yang besar, disiplin fiskal dan kesejahteraan rakyat mesti diseimbangkan.

​Mengulas lanjut, beliau menarik perhatian kepada peruntukan Persekutuan sebanyak RM459.8 bilion dengan pecahan RM376.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM83 bilion untuk pembangunan.

​"Dengan caj perkhidmatan hutang yang mencecah RM61 bilion, disiplin fiskal dan kecekapan perbelanjaan perlu terus diperkukuh bagi menjamin kemampuan kewangan negara untuk jangka panjang.

​"Baki RM50.2 bilion yang melibatkan pelaburan entiti berkaitan kerajaan dan kerjasama awam-swasta juga perlu dipantau dengan teliti, supaya manfaat ekonomi dan komitmen kewangannya dapat dinilai secara telus," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

​Dalam pada itu, Menteri Besar Terengganu itu mengalu-alukan inisiatif bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta langkah meningkatkan pendapatan pekerja.

​Bagaimanapun, katanya, keutamaan jangka panjang mestilah diletakkan kepada usaha meningkatkan kuasa beli rakyat, menyediakan peluang pekerjaan yang setimpal dan memperkukuh perusahaan tempatan.

​Mengulas mengenai proses perundangan di Dewan Rakyat, jelas beliau, pihaknya akan meneliti Belanjawan 2027 secara bertanggungjawab di Parlimen.

​"Mana yang baik kita sokong, mana yang perlu ditambah baik kita kemukakan cadangan," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!