Belanjawan 2027: Sumbangan makanan, peralatan food bank layak potongan cukai - Armizan

Armizan - FOTO: Bernama
Armizan - FOTO: Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Sumbangan makanan dan peralatan kepada Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) bakal menikmati potongan cukai khas mulai tahun depan hingga 2030 bagi menggalakkan lebih banyak pihak membantu golongan yang memerlukan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, insentif yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 itu merupakan syor Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diterima oleh Kementerian Kewangan (MoF).

“Ini merupakan syor yang dikemukakan oleh KPDN sebenarnya kepada MoF, kepada Perdana Menteri kerana kita melihat melalui insentif cukai ini, bukan sahaja ia akan memberikan galakan kepada pihak luar untuk menyertai atau bersama dalam satu gerak kerja bersepadu yang melibatkan pelbagai pihak, tetapi ia juga satu bentuk pengiktirafan kepada pihak yang tampil untuk membantu.

"Bukan sahaja ikhtiar kos sara hidup, tetapi ia juga sebenarnya satu agenda untuk mengelakkan pembaziran melalui penyelamatan makanan, sekali gus memelihara alam sekitar.

"Insentif ini membabitkan potongan cukai khas kepada pihak yang menyumbang makanan dan peralatan bagi pelaksanaan i-FB, dengan tempoh kuat kuasa bermula 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis UMS Alumni Homecoming & Fundraising Dinner 2026 anjuran Pusat Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini pada Sabtu.

Armizan dalam pada itu berkata, butiran terperinci mekanisme pelaksanaan insentif itu akan diselaraskan bersama MoF.

Dalam majlis sama, geran Inisiatif i-FB berjumlah RM30,000 disampaikan kepada Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UMS bagi membantu penyediaan peralatan dan ruang khas untuk pengurusan sumbangan makanan di kampus.

"Melalui pemberian geran kepada GPS UMS ini, kita mengharapkan geran berjumlah RM30,000 ini boleh digunakan untuk mereka membuat pembelian barangan dan penyediaan ruangan khas untuk IFB di kampus.

Artikel Berkaitan:

"Ia mempermudah pengurusan dalam konteks untuk menerima bantuan daripada pihak luar, begitu juga untuk penyimpanan dan pengagihan kepada pelajar yang memerlukan tersebut," katanya.

Sebelum itu, pelaksanaan i-FB digerakkan menerusi pendekatan seluruh negara dengan penglibatan pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan dan individu bagi membantu golongan sasaran mendapatkan bekalan makanan.

Inisiatif itu turut berteraskan tiga objektif iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam Sekitar dan Selamatkan Makanan (3S) yang menggabungkan usaha membantu golongan memerlukan, mengurangkan pembaziran makanan dan memelihara alam sekitar.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!