Langit kemerahan, jerebu tebal selubungi Kalimantan

JAKARTA - Langit kemerahan dan jerebu tebal menyelubungi Kalimantan di Indonesia akibat kebakaran hutan dan tanah yang menyebabkan kualiti udara ke tahap sangat tidak sihat dan berbahaya.
Menurut Kementerian Perhutanan, sebanyak 1,176 titik panas berkeyakinan tinggi dikesan di seluruh negara setakat malam Rabu.
Memetik pemerhatian Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), kementerian itu memaklumkan kualiti udara telah mencapai tahap sangat tidak sihat hingga berbahaya di Kalimantan Tengah, sebahagian Kalimantan Barat dan Selatan, Sumatera Selatan dan Jambi.
Jarak penglihatan di Palangka Raya, Kalimantan Tengah, merosot kepada hanya 150 meter pada 12.30 tengah hari Rabu, dengan peramal BMKG Chandra Mukti berkata angin yang lemah menghalang penyebaran asap.
Video yang tersebar di media sosial menunjukkan langit berwarna jingga merah, asap tebal dan api kelihatan merebak ke arah kawasan perumahan di beberapa bahagian Kalimantan, mendorong panggilan untuk bantuan.
Beberapa penduduk di Palangka Raya melaporkan kerengsaan mata dan kesukaran bernafas.
Kementerian itu berkata usaha memadam kebakaran diteruskan di darat dan dari udara.
"Sebanyak 61 pesawat telah dikerahkan untuk menyokong operasi memadam kebakaran, termasuk 44 untuk pengeboman air dan 17 untuk rondaan udara dan pengubahsuaian cuaca, bersama pasukan darat yang melibatkan tentera, polis, agensi pengurusan bencana dan masyarakat tempatan,” katanya dalam kemas kini media sosial pada Khamis.
Sehingga 9 malam Rabu, Kalimantan Tengah merekodkan 225 titik panas, meningkat berbanding 182 hari sebelumnya, manakala Sumatera Selatan mencatatkan peningkatan mendadak kepada 224 daripada 71.
Kalimantan Barat mencatatkan 47 titik panas, Kalimantan Selatan (31) dan Jambi (16).
Jerebu juga dilaporkan mengganggu penerbangan, dengan jarak penglihatan di Lapangan Terbang Melalan di Kalimantan Timur menurun kepada 500 meter pada Rabu dan beberapa penerbangan dilaporkan dibatalkan.
Di Lapangan Terbang Sultan Thaha di Jambi, jarak penglihatan menurun kepada 800 meter menjelang tengah hari Rabu, menangguhkan beberapa penerbangan ke dan dari Jakarta. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
