Dituduh terima wang, tawar projek palsu, ahli perniagaan pertimbang tindakan undang-undang

KUANTAN - Seorang ahli perniagaan menafikan dakwaan menerima wang dan menawarkan projek palsu seperti yang tersebar melalui sebuah video di platform TikTok baru-baru ini.
Datuk Seri Mohd Nazrul Izad Mohd Arsad berkata, kandungan video tersebut dimaklumkan seorang rakan menerusi aplikasi WhatsApp pada Sabtu.
Menurutnya, tuduhan tersebut serius kerana dakwaan yang dibuat bukan sahaja menyentuh nama baik sebagai individu malah turut melibatkan reputasi, integriti dan kredibiliti profesionalnya.
Katanya, dakwaan itu turut memberikan gambaran negatif kepada masyarakat khususnya apabila disebarkan melalui platform media sosial yang boleh diakses orang ramai.
"Saya dengan tegas menafikan mengambil wang daripada seorang individu sebagaimana yang dinyatakan dalam video tersebut.
"Saya juga menafikan dakwaan telah menawarkan atau memberikan projek palsu kepada individu berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, beliau membuat laporan polis berhubung dakwaan itu di Balai Polis Indera Mahkota di sini pada Sabtu bagi membolehkan siasatan dijalankan secara telus.
Mohd Nazrul Izad berkata, sebarang dakwaan melibatkan nama dan reputasi seseorang perlu disokong fakta serta bukti yang sewajarnya dan tidak seharusnya disebarkan sehingga menimbulkan persepsi negatif sebelum perkara sebenar diteliti.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi membantu menjelaskan perkara itu berdasarkan fakta dan dokumen berkaitan.
Mengulas latar belakang profesionalnya, beliau berkata, pelantikannya sebagai pengurus projek oleh Koperasi Perumahan Angkatan Tentera pada 14 Disember 2012 adalah berdasarkan latar belakang profesional dalam bidang pengurusan projek.
"Berhubung projek yang dipersoalkan, berdasarkan pengetahuan dan maklumat yang saya miliki, projek berkenaan telah dianugerahkan kepada pihak yang berkaitan.
"Saya juga menafikan menerima wang daripada individu seperti yang didakwa dalam video tersebut malah bersedia mengemukakan dokumen berkaitan pelantikan profesional dan projek berkenaan kepada pihak berkuasa atau penasihat undang-undang, tertakluk pada keperluan dan kesesuaian dokumen tersebut," katanya.
Ujar beliau lagi, langkah sewajarnya diambil untuk merekodkan perkara itu bagi mendapatkan penelitian pihak berkuasa terhadap dakwaan yang disebarkan.
"Tindakan undang-undang bersesuaian sedang dipertimbangkan bagi melindungi nama baik, reputasi dan kepentingan saya.
"Perkara ini diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menilai fakta dan menentukan tindakan yang bersesuaian mengikut undang-undang secara adil serta profesional berdasarkan bukti yang dikemukakan," katanya.
Pada masa sama, beliau meminta semua pihak supaya tidak membuat spekulasi, menyebarkan dakwaan yang belum disahkan atau mengeluarkan kenyataan yang boleh memburukkan keadaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

