Lelaki maut diserang harimau selepas ceroboh kandang zoo

Semua pengunjung taman hidupan liar itu turut dipindahkan keluar sebagai langkah keselamatan.
Semua pengunjung taman hidupan liar itu turut dipindahkan keluar sebagai langkah keselamatan.
A
A
A

LONDON – Seorang lelaki maut selepas diserang seekor harimau di Yorkshire Wildlife Park, berhampiran Doncaster, utara England selepas dipercayai menceroboh kandang haiwan berkenaan.

Polis South Yorkshire berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.30 petang waktu tempatan.

Menurut polis, mangsa mengalami kecederaan parah selepas diserang harimau berkenaan.

"Pasukan kecemasan telah dikerahkan ke lokasi, namun walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh petugas perubatan, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," menurut kenyataan polis.

Pihak berkuasa memaklumkan, harimau terbabit kekal berada di dalam kandang selepas kejadian dan tidak menimbulkan ancaman kepada orang awam.

Semua pengunjung taman hidupan liar itu turut dipindahkan keluar sebagai langkah keselamatan.

Yorkshire Wildlife Park mengesahkan berlaku satu insiden serius di kawasan kandang harimau sehingga menyebabkan taman berkenaan ditutup serta-merta.

Perkhidmatan Ambulans Yorkshire berkata, pihaknya menghantar dua ambulans darat dan sebuah ambulans udara ke lokasi kejadian.

Kawasan pameran harimau di taman itu yang dikenali sebagai Land of the Tigers, mempunyai laluan pejalan kaki bertingkat sepanjang 300 meter bagi membolehkan pengunjung melihat harimau Amur dari jarak dekat.

Artikel Berkaitan:

Habitat berkenaan merangkumi kawasan hutan, padang rumput dan kolam air terjun yang direka menyerupai persekitaran semula jadi spesies tersebut.

Harimau Amur merupakan antara subspesies harimau paling terancam di dunia dengan dianggarkan hanya sekitar 500 ekor masih hidup di habitat liar.

Pihak pengurusan taman memaklumkan premis itu akan terus ditutup pada Ahad susulan kejadian berkenaan. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!