Lanjut operasi lampu jalan hingga 9 pagi ketika jerebu - KKR

PONTIAN - Tempoh operasi lampu jalan di kawasan terjejas jerebu perlu dilanjutkan sehingga jam 9 pagi, berbanding jam 7 pagi ketika ini bagi membantu meningkatkan jarak penglihatan dan mengurangkan risiko kemalangan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah itu boleh dilaksanakan segera terutama di kawasan yang menggunakan sistem pemasa automatik.
Menurutnya, pihak berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil perhatian terhadap cadangan berkenaan.
“Mana-mana lampu jalan di kawasan jerebu yang mempunyai tetapan pemasa untuk menutup lampu pada jam 7 pagi disyorkan agar dilanjutkan tempohnya selama satu hingga dua jam iaitu sehingga jam 8 atau 9 pagi mengikut keadaan setempat.
“Tidak perlu menunggu kajian yang panjang kerana tindakan segera perlu diambil untuk membantu meningkatkan jarak penglihatan demi keselamatan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat keluarga kepada tiga beradik yang maut dalam kemalangan membabitkan lori dan motosikal di Jalan Parit Haji Siraj, Kayu Ara Pasong, Pontian, pada Khamis lalu.
Tiga beradik yang maut dalam kemalangan itu ialah Nor Daniel Aiman Norlizan, 18, Nor Daniel Fikri Norlizan, 11, dan Puteri Naufa Raisha Norlizan, 8.
Nor Daniel Fikri dan Puteri Naufa Raisha masing-masing merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Sapran, manakala abang mereka, Nor Daniel Aiman berusia 18 tahun.
Difahamkan, dua adik mangsa mahu ke sekolah walaupun dimaklumkan sekolah ditutup berikutan keadaan jerebu, sebelum abang mereka membawa mereka menaiki motosikal untuk memastikan perkara itu.
Kemalangan dipercayai berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas mendapati sekolah tidak dibuka ekoran jerebu.
Lebih memilukan, lokasi kemalangan itu terletak kira-kira 200 meter dari kediaman keluarga mereka di Kampung Parit Haji Siraj.
Dalam pada itu, Ahmad menggesa pihak bertanggungjawab, khususnya kerajaan Indonesia, mengambil tindakan lebih serius menangani masalah jerebu rentas sempadan yang berulang setiap tahun.
Katanya, kesan jerebu bukan sahaja menjejaskan jarak penglihatan dan keselamatan pengguna jalan raya, malah turut mengancam kesihatan penduduk kedua-dua negara.
Beliau berkata, masalah berkenaan perlu ditangani menerusi tindakan segera dan penyelesaian menyeluruh kerana ia bukan isu kecil, sebaliknya masalah berulang yang memberi kesan kepada kehidupan orang ramai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

