Belanjawan 2027: PH Pahang gerak jentera pastikan rakyat nikmati manfaat

Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat. Foto Bernama
Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Pakatan Harapan (PH) Pahang akan menggerakkan jenteranya di semua peringkat bagi memastikan rakyat memahami dan dapat memanfaatkan pelbagai inisiatif yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan manfaat belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, benar-benar sampai kepada golongan sasaran.

Menurutnya, kejayaan sesebuah belanjawan bukan hanya bergantung kepada jumlah peruntukan diumumkan, sebaliknya turut diukur berdasarkan keberkesanan pelaksanaannya serta sejauh mana manfaatnya dapat dirasai rakyat.

“PH Pahang komited untuk memainkan peranan lebih aktif sebagai penghubung antara dasar kerajaan dengan keperluan masyarakat di lapangan.

“Jentera PH Pahang di semua peringkat akan digerakkan untuk memperluas penyampaian maklumat mengenai inisiatif Belanjawan 2027, membantu rakyat memahami syarat kelayakan serta saluran permohonan.

"Selain mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan tetapi masih belum mendapat akses kepada kemudahan disediakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau memberitahu, perhatian turut diberikan kepada peniaga kecil dan usahawan mikro bagi memastikan mereka memperoleh maklumat mengenai peluang pembiayaan, latihan serta sokongan perniagaan yang bersesuaian.

Jelasnya, golongan belia, pekerja dan keluarga juga perlu dibantu memahami inisiatif berkaitan pekerjaan, pendidikan serta peningkatan pendapatan supaya peluang yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Ahmad Farhan memaklumkan sebarang maklum balas, kesulitan dan kekangan yang dikenal pasti menerusi program turun padang akan dikumpulkan sebelum disalurkan kepada kementerian serta agensi berkaitan bagi membantu menambah baik keberkesanan pelaksanaan dasar.

Artikel Berkaitan:

"Pendekatan itu penting kerana keperluan penduduk di kawasan bandar seperti Kuantan berbeza dengan cabaran yang dihadapi masyarakat luar bandar di Jerantut, Lipis, Bera, Rompin dan Cameron Highlands," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik Belanjawan 2027 bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ yang disifatkannya mencerminkan pendekatan pembangunan menyeluruh dengan mengimbangi aspirasi kemajuan negara dan kebajikan rakyat.

Katanya, antara inisiatif yang memberi kelegaan kepada rakyat termasuk peningkatan gaji minimum kepada RM2,000 bermula Jun 2027, peruntukan RM16 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), peningkatan pelepasan cukai asas individu kepada RM12,000 serta bantuan awal persekolahan sebanyak RM200.

Ahmad Farhan menambah, manfaat belanjawan itu khususnya penting kepada golongan pekerja, keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, peniaga kecil, petani, nelayan, masyarakat luar bandar serta anak muda.

“Belanjawan yang baik memerlukan pelaksanaan yang berkesan. Justeru, tanggungjawab kepimpinan politik tidak seharusnya terhenti pada menyambut baik pengumuman kerajaan, sebaliknya mesti diterjemahkan melalui tindakan yang memudahkan urusan rakyat.

"Kemajuan negara perlu dapat dirasai sehingga ke kampung, bantuan disalurkan kepada mereka yang layak dan peluang yang diwujudkan dapat dimanfaatkan seluruh lapisan masyarakat," ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!