'Setialah dengan satu orang, jatuh cintalah dengan orang yang sama' - Pesan ayah Bella kepada Syed Saddiq

"SETIALAH dengan satu orang, jatuh cintalah dengan orang yang sama setiap hari.”
Demikian antara pesanan menyentuh hati bapa Bella Astillah, Awang Astillah kepada menantunya, Syed Saddiq Abdul Rahman.
Pesanan itu disampaikan usai majlis akad nikah yang menyaksikan Syed Saddiq dan Bella sah bergelar suami isteri.
Dalam ucapan sejurus selesai majlis akad nikah, Awang berharap Syed Saddiq menjadi insan pertama yang "menghulurkan tangan kepada Bella ketika dia hampir jatuh", selain terus menjaga hati, kesetiaan dan kepercayaan yang dibina dalam perkahwinan mereka.
Beliau turut berpesan agar Syed Saddiq sentiasa menjadikan Bella tempat untuk kembali, walau sebesar mana pun dugaan yang mendatang.
“Fokuslah kepada dia, jagalah hati dan sama-samalah memperjuangkan rumah tangga ini.
“Pasti akan ada ribut, pasti akan ada salah faham, penat dan kecewa. Tapi walau sebesar manapun ribut itu, biarlah tempat pulang tetap orang yang sama,” katanya.
Awang turut mengingatkan bahawa kehidupan berumah tangga tidak akan terlepas daripada pelbagai cabaran dan godaan, namun kepercayaan pasangan perlu sentiasa dipelihara.
“Jangan sia-siakan hati, hati yang memilih untuk percayakan kepada kita,” katanya.
Dalam pesanan kepada anak perempuannya pula, Awang berkata, beliau melepaskan Bella untuk memulakan kehidupan baharu bersama lelaki yang diharapkan dapat menemaninya sepanjang hayat.
“Buat anak ayah, hari ini ayah lepaskan tangan kamu kepada lelaki yang Insya-ALLAH akan menemani kamu selamanya.
"Tangan yang ayah pegang sejak kamu kecil, hari ini ayah serahkan kepada dia. Jadilah seorang isteri yang baik dan hormati suami," katanya.
Ucapan itu turut mengundang sebak dalam kalangan ahli keluarga dan tetamu yang hadir.
Awang turut berharap agar Syed Saddiq sentiasa berada di sisi Bella ketika anaknya itu berdepan kesukaran, selain menegaskan bahawa beliau dan isteri akan sentiasa menyayangi serta menyokong anak mereka.
“Kalau suatu hari kamu hampir jatuh, semoga dialah yang paling dahulu menyambut kamu.
“Dan walau apa pun yang berlaku, ingatlah, kamu tetap anak ayah. Ayah dan mama sentiasa ada, menyayangi kakak selagi kami ada di dunia ini,” katanya.
Mengakhiri ucapannya, Awang mendoakan agar perkahwinan pasangan berkenaan sentiasa berada dalam lindungan ALLAH SWT serta dikurniakan kebahagiaan yang berkekalan.
Pasangan itu dinikahkan oleh Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan mas kahwin RM500.
Majlis pernikahan pasangan itu berlangsung di aras 118, Menara Merdeka Maybank pada jam 10.40 pagi dan dihadiri kira-kira 300 ahli keluarga, tetamu kehormat dan rakan rapat pasangan berkenaan. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
