Harimau belang dikesan di laluan Bukit Fraser arah ke Kuala Kubu Bharu

Gambar tular menunjukkan kelibat seekor harimau belang yang didakwa ditemui berhampiran Simpang Bukit Fraser menghala ke Kuala Kubu Bharu. Foto tular media sosial.
Gambar tular menunjukkan kelibat seekor harimau belang yang didakwa ditemui berhampiran Simpang Bukit Fraser menghala ke Kuala Kubu Bharu. Foto tular media sosial.
A
A
A

KUANTAN – Penampakan seekor harimau belang yang didakwa berkeliaran di bahu jalan di laluan Bukit Fraser menghala ke Kuala Kubu Bharu, Selangor mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya.

Kelibat haiwan pemangsa itu tular di media sosial selepas beberapa gambar dimuat naik oleh seorang pengguna menerusi kumpulan Facebook Hiking and Recreation Around Malaysia.

Berdasarkan hantaran berkenaan, haiwan liar itu dikesan berada di tepi jalan kira-kira satu kilometer dari simpang Fraser Gap.

“Berhati-hati kepada pengguna trek GS Gap Chorocco. Seekor harimau telah dikesan berkeliaran kira-kira satu kilometer dari simpang Fraser Gap menghala ke Kuala Kubu Bharu, Selangor,” menurut hantaran tersebut.

Perkara itu turut dikongsikan menerusi aplikasi Threads oleh pemilik akaun ‘peann999’ yang memuat naik dua keping gambar memaparkan haiwan berkenaan berhampiran kawasan hutan.

Hantaran tersebut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial, termasuk kebimbangan terhadap keselamatan orang ramai serta keadaan fizikal haiwan liar itu.

Seorang pengguna, Wani Radzi, meninggalkan komen berbunyi “Kesiannya, nampak kurus” berserta emoji simpati.

Pandangan itu turut disokong beberapa pengguna lain yang beranggapan harimau liar lazimnya memiliki tubuh lebih cergas kerana perlu memburu mangsa untuk terus hidup, berbanding haiwan yang dipelihara di zoo.

Selain itu, seorang pengguna, James Lee, meminta supaya lokasi sebenar penampakan tidak didedahkan bagi mengelakkan gangguan terhadap haiwan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Yusoff Shariff mengesahkan pihaknya menerima aduan berhubung penampakan haiwan tersebut.

“Kita telah mengarahkan empat anggota Perhilitan Daerah Raub ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

“Selain itu, empat unit kamera perangkap turut dipasang bagi memantau pergerakan haiwan berkenaan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!