Lelaki pandu agresif, langgar kenderaan awam cedera ditembak polis

PETALING JAYA - Seorang lelaki yang dipercayai memandu secara agresif dan berbahaya sehingga melanggar beberapa kenderaan awam cedera ditembak polis sebelum ditahan dalam kejadian di Persiaran Mahogani menghala Sungai Buloh di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.42 petang itu, suspek berusia lingkungan 30-an yang memandu kereta jenis Proton Wira dipercayai dikejar sebuah kereta peronda polis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, suspek berjaya diberkas di lokasi kejadian selepas bertindak secara agresif dan berbahaya.
"Suspek mengalami kecederaan akibat terkena tembakan yang dilepaskan pihak polis.
"Anggota peronda polis yang terlibat dalam insiden ini juga mengalami kecederaan dan telah menerima rawatan di hospital," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini tular video di media sosial memaparkan sebuah kenderaan dipercayai dikejar sebuah kenderaan peronda polis sebelum melanggar beberapa kenderaan.
Dalam rakaman tular itu turut memaparkan pemandu kenderaan itu kemudiannya bertindak melarikan diri sebelum dikejar beberapa anggota polis di lokasi kejadian.
Shamsudin berkata, pemeriksaan terhadap suspek menemukan dadah dan senjata mainan yang menyerupai pistol.
Bagaimanapun katanya, ujian saringan air kencing terhadap suspek belum dilakukan kerana lelaki itu masih menerima rawatan.
"Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti faktor suspek bertindak melarikan diri daripada pemeriksaan polis.
"Status pekerjaan suspek juga masih belum diketahui," katanya.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai 10 rekod lampau membabitkan enam kes berkaitan dadah dan empat kes jenayah.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu atau gopoh serta berbahaya.
"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952
"Permohonan reman terhadap suspek dijadualkan pada 10 Oktober di Pusat Perubatan Universiti Malaya," katanya.
Dalam pada itu, Shamsudin menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat atau membuat spekulasi berhubung kejadian berkenaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

